KUCHING, 15 Mei (Bernama) -- Rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam konteks pendidikan berjaya dilaksanakan hasil kerjasama erat kerajaan Persekutuan dan negeri, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Berucap pada Majlis Malam Berambeh Segulai Sejalai di sini malam ini, beliau berkata komitmen berterusan pada peringkat Kerajaan MADANI dan negeri perlu berterusan bagi melonjakkan martabat pendidikan bagi peringkat negeri mahupun negara.
“Kita akan terus memastikan ia berjalan dengan lancar, pastinya juga komitmen kerajaan negeri bersama dengan rakan-rakan saya yang lain, khususnya ketika kami bersama-sama memastikan bahawa MA63 ini benar-benar terlaksana.
“Sarawak ialah negeri pertama yang telah bersama-sama dengan kerajaan Persekutuan dalam kami memastikan MA63 ini, khususnya dalam bidang pendidikan menjadi kenyataan dan dikerjakan dengan bersungguh-sungguh,” katanya.
Majlis berkenaan diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-54 Tahun 2025 yang kemuncaknya berlangsung esok dengan Sarawak sebagai tuan rumah.
Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak I (Pendidikan dan Inovasi) Datuk Dr Annuar Rapaee berkata Sarawak telah mengemukakan 15 perkara utama dalam rundingan berkaitan penambahan kuasa autonomi negeri, yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat dan menunjukkan perkembangan positif.
Menurut Dr Annuar, kerjasama negeri dengan Kementerian Pendidikan semakin baik termasuk kebenaran kepada Sarawak untuk melaksanakan peperiksaan tahun enam sendiri selepas pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Dalam pada itu, Fadhlina berkata pengisian dan kemeriahan bagi acara itu di Bumi Kenyalang kali ini telah meletakkan Sarawak sebagai penanda aras.
“Suasananya sangat luar biasa, jadi tuan rumah tahun depan berhadapan dengan masalah kerana penanda aras yang dibuat dan diletakkan oleh Sarawak sangat tinggi dan meriah,“ katanya.
Turut hadir, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Lah Woh, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn dan Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Azman Adnan.
Terdahulu, majlis berkenaan diserikan dengan persembahan nyanyian serta tarian tradisional oleh beberapa sekolah di Sarawak.
-- BERNAMA