AM

‘SHECONOMY’ PACU PERTUMBUHAN INKLUSIF WANITA ASEAN - PRESIDEN WEF

15/05/2025 10:28 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Konsep SHEconomy perlu dijadikan teras kepada agenda ekonomi masa depan ASEAN bagi memastikan pertumbuhan yang inklusif dan mampan, dengan memanfaatkan sepenuhnya potensi wanita di rantau ini, kata Presiden Forum Ekonomi Wanita (WEF) ASEAN 2025 Datin Dr Hartini Osman.

Beliau berkata landskap ekonomi ASEAN perlu bergerak merentas sempadan dengan mengadaptasi dasar responsif gender dan model kerjasama bersepadu yang memperkasa wanita, bukan sahaja dalam bidang keusahawanan tetapi dalam kepimpinan, dasar awam, pendidikan dan inovasi.

“Di ASEAN, wanita adalah segmen utama dalam populasi, namun masih terdapat jurang struktur besar yang menghadkan penyertaan penuh mereka dalam ekonomi.

“Pendekatan SHEconomy bertujuan merapatkan jurang ini dengan menyediakan platform sebenar untuk kemajuan dan pengiktirafan kepada golongan wanita dalam pelbagai peringkat serta sektor,” katanya ketika menjadi tetamu program ASEAN: Dari Kuala Lumpur ke Dunia terbitan Bernama TV malam ini.

Mengulas penganjuran WEF ASEAN pada 19 hingga 21 Jun ini, Hartini berkata forum itu memberi tumpuan kepada usaha membentuk ekosistem ekonomi rentas sempadan yang menekankan maruah, inklusiviti dan dasar berasaskan data, dengan kesaksamaan gender sebagai prinsip teras.

“Kita perlu pastikan wanita bukan sahaja terlibat, tetapi bersedia untuk memimpin, terutamanya dalam era inovasi, pendigitalan dan model perniagaan mampan yang sedang mengubah hala tuju ekonomi. Jika kita gagal mempersiapkan wanita sekarang, kita akan ketinggalan,” katanya.

Beliau turut menekankan pentingnya membina budaya kolaboratif yang menyaksikan lelaki menjadi rakan sekutu dan penyokong utama kepada pemerkasaan ekonomi wanita, khususnya dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Hartini berkata menjelang WEF, ASEAN 2025 melaksanakan program Connect and Collaborate 100 Days sejak 3 Mac lepas, yang melibatkan perbincangan bersama komuniti dari 73 negara setiap hari dalam pelbagai isu.

“Hasil program ini nanti pada hari kedua WEF ASEAN 20 Jun, kita adakan sesi khas meja bulat G100 wing on Philanthropy, Business and Poverty Eradication bagi membincangkan dapatan dan cadangan dasar berkaitan meningkatkan keupayaan serta penglibatan wanita dalam ekonomi serantau,” katanya.

Antara inisiatif lain di bawah program Connect and Collaborate 100 Days termasuk program latihan industri 100 hari, kerjasama dengan 10 universiti dan komuniti serantau bagi tajaan biasiswa impian (Dream Scholarship) serta laluan keusahawanan yang menyasarkan golongan wanita muda dan pemimpin berpotensi tinggi di ASEAN.

Beliau berkata usaha itu mencerminkan keyakinan bahawa SHEconomy bukan konsep pinggiran, tetapi pemacu utama kepada ekonomi masa depan ASEAN dengan ekonomi yang inklusif, saling terhubung dan bersedia untuk memimpin.

-- BERNAMA


 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan