KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Sebanyak 120 pelajar India yang mengikuti Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) telah menjalani Program Latihan TVET Belia Malaysia-China (MCYTT), dengan kerjasama Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) sejak April hingga kini.
Pengasas Projek Belia Mahir Mohammad Rizan Hassan berkata pelajar berkenaan, merupakan sebahagian daripada 500 belia India yang akan menjalani latihan di China tahun ini, bagi mendapatkan pengalaman mobiliti antarabangsa menerusi bantuan penajaan daripada MITRA.
“Program kerjasama MCYTT-MITRA merupakan inisiatif bersama antara Projek Belia Mahir, MITRA, Malaysia-China Institute (MCI) dan TANG International Education Group dari China, dengan bidang ditawarkan diselaraskan mengikut keperluan industri masa depan serta menjanjikan peluang pekerjaan berkualiti tinggi.
“Antara bidang utama termasuk automotif (khususnya kenderaan elektrik), pemasaran internet dan e-dagang, mekatronik dan automasi industri, semikonduktor, teknologi elektrik, keselamatan siber serta teknologi pemprosesan makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu program POV: Perspektif Bukan Persepsi musim kelima di Bernama Radio bersama penganalisis jenayah Kamal Affandi Hashim, baru-baru ini.
Mohammad Rizan berkata pelajar TVET kaum India yang pulang daripada program MCYTT-MITRA itu juga berpeluang menerima biasiswa pengajian selama satu tahun di institusi TVET atau vokasional tinggi di China.
“Syaratnya, mereka perlu menguasai Bahasa Mandarin sekurang-kurangnya Tahap 3 (HSK Level 3) kerana program lanjutan akan dijalankan secara dwibahasa atau sepenuhnya dalam bahasa itu. Latihan intensif akan dibuat di Malaysia melalui pusat latihan MCI,” katanya.
Mohammad Rizan berkata biasiswa pengajian itu, merangkumi yuran pengajian penuh, penginapan, makanan asas, elaun bulanan yang bergantung peruntukan rakan institusi di China.
Beliau berkata peserta akan memperoleh sijil antarabangsa, meningkatkan daya saing dan peluang bekerja di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) syarikat multinasional, termasuk syarikat China dalam dan luar negara seterusnya membuka peluang kepada belia India menjadi tenaga pengajar TVET.
Beliau berkata terdapat 225 institusi TVET di seluruh China yang menjayakan program tersebut, antaranya Sanhe Vocational Education Center, Anhui Water Conservancy Technical College, Zhejiang Institute Of Mechanical And Electrical Technician, Guangxi Financial Vocational College dan Jiangxi Vocational College Of Industry & Engineering.
“Institusi itu diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan China atau Kementerian Sumber Manusia dan Keselamatan Sosial China (MoHRSS), yang berstatus National Demonstration Higher Vocational College atau Provincial Key TVET,” katanya.
Beliau mengharapkan Program Belia Mahir bukan sahaja mengubah kehidupan belia kaum India, namun mengalih persepsi masyarakat terhadap potensi anak muda yang pernah tercicir, dipinggirkan atau tidak diberi peluang.
“Kami percaya setiap belia, tanpa mengira latar belakang, mempunyai cahaya harapan jika diberi peluang dan pendedahan yang betul. MCYTT bukan sekadar program latihan, tapi satu misi pemulihan maruah dan masa depan.
“Harapan kami ialah mereka yang mengikuti program ini, bangkit sebagai ejen perubahan yang menjadi contoh kepada semua, membina tenaga kerja global daripada akar umbi, memecah tembok kasta sosial melalui pendidikan kemahiran, selain mewujudkan ekosistem belia bantu belia,” katanya.
-- BERNAMA