JENAYAH & MAHKAMAH

PEGUAM ROSMAH DAKWA HAKIM TERSILAP APABILA TIDAK MENARIK DIRI

15/05/2025 05:20 PM

PUTRAJAYA, 15 Mei (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu bahawa Hakim Mahkamah Tinggi telah tersilap apabila menolak permohonan Datin Seri Rosmah Mansor supaya menarik diri daripada mendengar atau membuat keputusan berhubung kesnya yang berkaitan dengan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion di Sarawak.

Peguam Rosmah, Datuk Jagjit Singh berhujah bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamed Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) seharusnya menarik diri daripada mendengar kes itu selepas dikatakan telah mengarahkan Unit Penyelidikan mahkamah menyediakan draf penghakiman sebelum menyampaikan keputusan.

“Hakim tersilap apabila menolak permohonan penarikan diri tersebut, atas sebab bahawa dokumen setebal 71 muka surat atau dua penghakiman yang dimaksudkan itu sebenarnya hanyalah pendapat Unit Penyelidikan.

"Unit Penyelidikan tidak akan menyediakan draf pendapat jika arahan tidak diberikan secara khusus. Unit penyelidikan itu tidak akan bertindak sendiri tanpa arahan," kata semasa berhujah di hadapan panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

Dua lagi anggota panel itu ialah Hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.

Jagjit turut berhujah bahawa tindakan menyerahkan penyediaan penghakiman bertulis, sama ada dalam bentuk draf atau muktamad kepada Unit Penyelidikan bagi pihak hakim, adalah tidak betul, tidak boleh diterima sama sekali, dan amat prejudis terhadap anak guamnya.

"Oleh itu perayu (Rosmah) tidak mendapat perbicaraan yang adil apabila hak dan kebebasannya dicabuli oleh perlembagaan, sekali gus mengakibatkan berlakunya penyelewengan serius terhadap keadilan terhadap perayu," katanya pada pendengaran rayuan Rosmah supaya Hakim Mohamed Zaini menarik diri daripada mendengar atau membuat keputusan dalam kesnya.

Perbicaraan bersambung 25 Jun.

Pada 1 Sept 2022, Rosmah, 73, gagal dalam rayuannya supaya Hakim Mohamed Zaini menarik daripada mendengar ke rasuahnya selepas draf penghakiman dalam kes rasuahnya itu didakwa telah disediakan oleh pihak lain, dan dibocorkan sebelum keputusan itu disampaikan.

Pada hari yang sama Rosmah disabit dengan kesalahan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

Mahkamah juga memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Rosmah berdepan dengan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan