SHAH ALAM, 15 Mei (Bernama) -- Bermula hari ini, harga beras putih import (BPI) di semua pintu gudang Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) di Semenanjung, Sabah dan Sarawak diselaraskan kepada RM2,600 bagi setiap metrik tan.
BERNAS dalam kenyataan memaklumkan, bagaimanapun program subsidi BPI oleh kerajaan bagi Sabah dan Sarawak masih diteruskan seperti biasa.
Menurut BERNAS, langkah proaktif itu mencerminkan komitmen berterusan pihaknya dalam menyokong usaha kerajaan memastikan keterjaminan bekalan makanan negara serta mengurangkan impak kenaikan harga pasaran global.
"Ia secara langsung membolehkan pengguna untuk mendapatkan bekalan beras import pada harga yang lebih rendah dan sekaligus membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.
"Ini merupakan pelarasan kali kedua selepas BERNAS menguatkuasakan pelarasan harga BPI di pintu gudang di Semenanjung pada 1 Dis 2024, daripada RM3,000 kepada RM2,800 per metrik tan," menurut kenyataan itu.
Langkah terbaharu itu juga menyaksikan Malaysia masih kekal menawarkan harga BPI terendah di rantau Asia Tenggara.
BERNAS turut memberi jaminan bahawa bekalan beras di negara ini adalah mencukupi bagi memenuhi keperluan pengguna, berikutan beras putih turut diimport dari negara lain seperti Vietnam, Thailand dan Myanmar.
“Pendekatan ini diambil bagi memastikan bekalan beras negara terus terjamin tanpa bergantung kepada satu sumber sahaja, di samping melindungi stok penimbal negara,” menurut kenyataan itu.
Semalam, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan BPI diselaraskan kepada RM2,600 per metrik tan di semua pintu gudang BERNAS berkuat kuasa hari ini.
Menurut Mohamad pelarasan itu merupakan hasil sesi libat urus bersama BERNAS dengan mengambil kira pelbagai faktor semasa, termasuk perkembangan pasaran global serta keperluan menjamin kelangsungan rantaian bekalan makanan negara.
-- BERNAMA