POLITIK

PEMILIHAN PKR: JANGAN BERKEMPEN HINGGA PUPUK RASA BENCI KEPADA CALON LAIN - FAHMI

15/05/2025 12:13 AM

SHAH ALAM, 14 Mei (Bernama) -- Calon yang bertanding jawatan dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) diingatkan agar tidak memupuk rasa benci kepada calon lain semasa berkempen.

Ketua Penerangan PKR Datuk Fahmi Fadzil berkata sebagai ahli parti, setiap daripada mereka diperlukan untuk bekerjasama ketika berdepan ‘lawan sebenar’ pada Pilihan Raya Umum akan datang.

“Sebagai sebuah parti yang lahir di jalanan, PKR sebuah parti yang umpama direbus tak masak, dibakar tak hangus… itulah semangat kita. Namun begitu, saya nak ingatkan pada semua janganlah sampai memupuk rasa benci pada rakan calon yang lain sepanjang berkempen kerana kita akan saling memerlukan selepas ini,” katanya.

Fahmi, yang juga calon MPP, berkata demikian ketika berucap pada Program Temu Rapat Akar Umbi bersama Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, yang bersaing bagi jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti sesi 2025-2028 di sini malam ini.

Majlis itu, yang berlangsung di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 di sini, turut dihadiri Naib Presiden PKR iaitu Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang mempertahankan jawatan itu serta beberapa calon lain bagi jawatan MPP selain calon Ahli Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi, turut menyifatkan pemilihan parti sebagai pertandingan adik-beradik.

“Pemilihan ini adalah pemilihan adik-beradik, kita nakkan selepas 24 Mei, tidak kira siapa menang atau siapa kalah, kita harus kembali mengumpul seluruh kekuatan untuk berdepan Pilihan Raya Umum.

“Saya percaya kita tak nak serabutkan pemikiran Presiden iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana beliau sedang bekerja keras untuk negara dan beliau merupakan the right man at the right place and the right time untuk kita semua dan negara,” katanya.

Fahmi, yang mengisytiharkan sokongan terbuka kepada Nurul Izzah pada majlis itu, turut berkongsi bahawa Perdana Menteri telah memberi jaminan tidak akan berlaku perubahan dalam kepimpinan kerajaan selepas pemilihan PKR berakhir.

Pemilihan kepimpinan pusat pada 23 Mei ini, yang bermula dari 8 pagi hingga 5 petang, akan dijalankan menerusi dua kaedah iaitu secara pengundian fizikal oleh perwakilan Kongres Pusat, Kongres AMK Pusat serta Wanita Pusat, masing-masing di Berjaya Waterfront Hotel dan Pusat Konvensyen Danga Bay di Johor Bahru, Johor.

Bagi Sabah dan Sarawak, pengundian fizikal akan berlangsung di Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC) di Penampang serta Pusat Konvensyen Penview di Kuching manakala perwakilan biasa dan perwakilan tambahan bagi Kongres Pusat, AMK Pusat serta Wanita Pusat tidak perlu hadir secara fizikal kerana pengundian dilakukan secara dalam talian pada tarikh dan masa yang sama menerusi aplikasi ADIL.

Kongres Nasional PKR termasuk Kongres AMK dan Kongres Wanita dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan