KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempelawa dan mencadangkan agar syarikat penerbangan Rusia, termasuk Aeroflot, memulakan semula laluan penerbangan langsung ke Malaysia secepat mungkin.
“Kita mengambil pendirian sebagai negara yang tidak memihak, dan melaksanakan peranan pusat dalam ASEAN, bagi membolehkan kita menentukan sendiri perkara yang terbaik untuk Malaysia dan rakyatnya,” kata beliau pada sidang media bersama dengan Presiden Rusia Vladimir Putin di Moscow, Rusia, hari ini.
Aeroflot, beroperasi selama lebih 100 tahun dan menjadi antara jenama Rusia yang paling terkemuka, ialah syarikat penerbangan terbesar Rusia, yang meliputi syarikat penerbangan Rossiya dan Pobeda.
Aeroflot Group ialah peneraju penerbangan komersial Rusia yang tidak dapat dipertikaikan.
Pada 2024, Aeroflot sahaja membawa 30.1 juta penumpang, dan sebanyak 55.3 juta penumpang jika termasuk menerusi syarikat penerbangan Aeroflot Group.
Aeroflot sentiasa mengembangkan rangkaian laluan domestiknya, termasuk penerbangan antara wilayah negara itu tanpa melalui Moscow, membangunkan program pengangkutan berorientasi sosial dan melaksanakan program tambang sama ratanya sendiri bagi penerbangan ke bandar-bandar di Timur Jauh dan Kaliningrad.
-- BERNAMA