DUNIA

MALAYSIA PERKUKUH DIPLOMASI BUDAYA MELALUI PAMERAN SENI BATIK DAN MANIK DI HELSINKI

14/05/2025 06:07 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Kedutaan Malaysia di Helsinki baru-baru ini menganjurkan edisi terbaharu inisiatif utama Project Synergy, kali ini mengetengahkan warisan batik dan seni manik negara kepada khalayak di Finland.

Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia di Finland, Mohamed Ariff Mohamed Ali berkata Pameran Seni Batik dan Manik itu bukan sekadar mempamerkan hasil seni, malah merupakan satu perayaan terhadap warisan budaya, identiti dan akar umbi Malaysia.

Menurut kenyataan kedutaan itu, pameran berkenaan turut menzahirkan komitmen lebih luas kedutaan dalam diplomasi budaya, iaitu memanfaatkan seni untuk memupuk persefahaman, niat baik dan kerjasama antara Malaysia dan Finland.

Pameran Seni Batik dan Manik tahun ini memperkukuh visi tersebut melalui tekstil yang berwarna-warni dan hasil seni manik yang halus, diterjemahkan secara kreatif oleh dua seniman Malaysia yang menetap di Finland - Ouddhena Erognica Teern dan Serena Chan.

Project Synergy merupakan usaha keterlibatan komuniti utama yang digerakkan oleh Kedutaan Malaysia di Finland.

Pada 2024, dua inisiatif telah dianjurkan di bawahnya - Pameran Seni Friends of Malaysia (FoM) yang menampilkan pelukis amatur Chinda Nang, serta tayangan filem Malaysia bertajuk KITA, sebuah karya menyentuh hati mengenai kisah-kisah perpaduan dan ketabahan rakyat, yang dikurasi oleh Melody Lee.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan