Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini apabila pelabur mengurangkan jangkaan mereka terhadap langkah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) untuk menurunkan kadar faedah.
Perubahan ini telah menyebabkan hasil perbendaharaan AS meningkat dan dolar AS menjadi lebih kukuh.
Pada 6 petang, mata wang tempatan itu susut kepada 4.3185/3250 berbanding dolar AS daripada 4.2970/3005 ketika ditutup Jumaat.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pasaran sebelum ini menjangkakan tiga kali pemotongan kadar faedah oleh Fed tahun ini.
Bagaimanapun, jangkaan itu kini disemak semula kepada satu atau dua sahaja berikutan data ekonomi AS yang lebih kukuh serta risiko kemelesetan yang semakin pudar.
“Perubahan ini telah meningkatkan hasil bon 10 tahun AS dan menjadikan dolar AS lebih menarik, sekali gus memberi tekanan kepada ringgit dan mata wang serantau lain,” katanya kepada Bernama.
Innes berkata kelemahan ringgit semakin berterusan walaupun ketegangan perdagangan antara AS dan China semakin reda, dengan kedua-dua pihak mengurangkan tarif secara ketara — turun kepada 30 peratus daripada 145 peratus di pihak AS, dan kepada 10 peratus daripada pihak China.
“Kebiasaannya, langkah sebegini akan menyokong sentimen risiko dan mengukuhkan mata wang Asia, tetapi kali ini pasaran lebih tertumpu kepada kadar faedah berbanding berita perdagangan,” katanya.
Pengurus aset itu berkata apabila Bank Negara Malaysia mengekalkan kadar faedah yang rendah, ia menjadikan ringgit kurang menarik berbanding dolar AS.
“Pelabur juga mungkin mula membuat penyesuaian awal menjelang pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akhir minggu ini, dengan spekulasi kemungkinan kejutan penurunan, namun itu mungkin merupakan faktor yang lebih kecil,” tambahnya.
Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.9181/9227 daripada 2.9565/9591 dan naik berbanding euro kepada 4.7961/8033 daripada 4.8320/8359.
Ringgit diniagakan susut sedikit berbanding pound Britain kepada 5.7056/7142 daripada 5.7004/7050 sebelum ini.
Mata wang tempatan itu diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang di negara-negara ASEAN.
Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3084/3137 daripada 3.3095/3124, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 259.7/260.2 daripada 260.0/260.4 dan menokok berbanding baht Thailand kepada 12.9958/13.0240 daripada 13.0082/0267 ketika ditutup minggu lalu.
Sementara itu, ringgit kekal tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 7.74/7.76.
-- BERNAMA