EKONOMI

OM HOLDINGS JUAL KEPENTINGAN 26 PERATUS DALAM NMPL PADA HARGA US$101.4 JUTA

13/05/2025 07:39 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- OM Holdings Ltd (OMH),  subsidiari milik penuh OMH (Mauritius) Corp (OM Mauritius) telah memeterai perjanjian ikatan bersyarat dengan Exxaro Resources Ltd untuk menjual keseluruhan 26 peratus kepentingan dalam NTSimbintle Mining Proprietari Ltd (NMPL) pada harga lebih kurang US$101.4 juta (US$1 = RM4.32).

NMPL memegang kepentingan 50.1 peratus dalam Tshipi é Ntle Manganese Mining (Pty) Ltd (Tshipi) dan mengendalikan lombong Tshipi Borwa di Afrika Selatan, kata OMH melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Syarikat peleburan mangan dan silikon itu berkata urus niaga tersebut merangkumi saham-saham OM Mauritius dalam NMPL bersama sama dengan hak pemasaran yang berkaitan.

OMH berkata Ntsimbintle Holdings Proprietari Ltd (NH) memiliki baki 74 peratus dalam NMPL dan kejayaan memuktamadkan urus niaga itu, antara lain, bergantung kepada kejayaan penjualan kepentingan NH dalam NMPL serta kelulusan dari pihak berkuasa yang berkaitan. 

Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif OMH Low Ngee Tong berkata pertimbangan dari Exxaro, sebuah syarikat komoditi dan tenaga pukal yang beroperasi di Afrika Selatan, adalah peluang yang menarik bagi membuka nilai untuk OMH termasuk mengitar semula modal kepada operasi perniagaan terasnya.  

"Kami berharap dapat memulakan hubungan komersil baharu dengan Exxaro dalam perniagaan bijih mangan Tshipi," katanya.

Tertakluk kepada kelulusan dan pemenuhan pengawalseliaan yang diperlukan atau pengecualian syarat -syarat yang bergantung pada keadaan akan datang, urus niaga itu dijangka diselesaikan menjelang awal 2026 selepas pemindahan pemilikan kepada Exxaro.

Pada tarikh penutupan, Exxaro akan membuat pembayaran 95 peratus pertimbangan transaksi kepada OM Mauritius, manakala baki lima peratus akan dipegang secara eskrow sebagai jaminan, sejajar dengan perjanjian eskrow yang dipersetujui untuk tempoh 12 bulan selepas tarikh penutupan.

 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan