PUTRAJAYA, 13 Mei (Bernama) -- Cadangan untuk mewujudkan satu mekanisme pendanaan bagi inisiatif keselamatan jalan raya dipersetujui pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JK-MKKJR) hari ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata ia melibatkan permohonan kepada penyaluran 50 peratus kutipan saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk melaksanakan inisiatif berkenaan.
"Antara (inisiatif) ialah pencahayaan lebuh raya di kawasan hotspot kemalangan dan perkara ini akan dilaksanakan segera.
"Kita harap ada satu sumber hasil yang lebih berterusan supaya dapat mengambil langkah-langkah mitigasi untuk mengurangkan kadar risiko kemalangan jalan raya," katanya pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa itu di sini hari ini.
Sementara itu, Loke berkata keselamatan di Jalan Raya Timur–Barat (JRTB) Gerik–Jeli, terutamanya berhubung lintasan haiwan liar akan dipertingkatkan susulan kisah menyayat hati seekor ibu gajah setia menunggu anak yang mati akibat dilanggar lori di kawasan terbabit baru-baru ini.
"Antara aspek keselamatan yang kita akan lihat ialah pencahayaan di kawasan itu serta aspek lain, seperti menyediakan laluan untuk hidupan liar," katanya.
Loke berkata pemeliharaan keselamatan hidupan liar juga akan diberi keutamaan dalam projek-projek landasan kereta api.
"Perkara ini akan kita lihat dan tambah di laluan Gemas–Johor Bahru kerana pernah berlaku insiden gajah merentasi landasan kereta api. Kita ambil perhatian yang serius kerana bukan sahaja kita nak melindungi hidupan liar, tetapi juga melindungi nyawa manusia.
"Landasan kereta api kita mempunyai risiko yang tinggi kalau ada hidupan yang merentasi, kerana kalau kereta api bergerak dalam keadaan yang laju dan melanggar hidupan liar, terutamanya gajah, maka kesannya agak buruk,” katanya.
-- BERNAMA