AM

UPM LAKSANA PROJEK TERNAK UDANG AIR TAWAR, SUMBANG KEPADA KETERJAMINAN MAKANAN

13/05/2025 06:01 PM

SERDANG, 13 Mei (Bernama) -- Universiti Putra Malaysia (UPM) melaksanakan projek penternakan udang air tawar sebagai usaha untuk menyumbang kepada keterjaminan makanan dan pemulihara ekosistem akuatik negara.

Naib Canselor UPM Profesor Datuk Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata selain itu, projek tersebut bertujuan meluaskan lagi pengetahuan pelajar dalam bidang akuakultur.

“Projek ternakan ini melibatkan spesies udang kara air tawar yang semakin mendapat perhatian dalam industri akuakultur berikutan kadar tumbesarannya yang cepat, nilai pemakanan yang tinggi serta potensi pasaran yang luas.

“Projek ini selari dengan Pelan Tindakan Keterjaminan Makanan UPM khususnya dalam memperkukuh sistem pertanian pintar, keselamatan makanan dan pembangunan serta menjadikan hidupan laut tersebut lebih mudah dinikmati oleh rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelepasan Udang Air Tawar di Kolej Tan Sri Aishah Ghani, UPM di sini hari ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan