SUKAN

PIALA ASIA 2025: HANNAH TARUH HARAPAN TINGGI BUAT ACARA BERPASUKAN DAN REGU

13/05/2025 05:04 PM

PUTRAJAYA, 13 Mei (Bernama) --  Selepas pasukan negara mencipta sejarah menjuarai acara kuadran Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 semalam, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh turut menaruh harapan tinggi buat acara berpasukan dan regu. 

Sebagai tuan rumah, Hannah berkata kesemua atlet negara perlu bangkit dari kekecewaan tidak menjuarai acara double dan menguatkan semangat bagi terus mengumpul kejayaan dalam kejohanan yang berlangsung di Stadium Titiwangsa itu.

"Kita juara acara kuadran tetapi gagal dapat kejayaan berganda, kalau boleh memang nak menang semua, tapi kita tidak berjaya. 

"Tapi saya masih menaruh harapan bahawa atlet kita akan terus kuat semangat untuk lakukan yang terbaik ya," katanya selepas merasmikan Konvensyen Meja Bulat Program Kejurulatihan Sukan 2025 (RCSC25): Pusat Kecemerlangan ASEAN untuk Kejurulatihan Sukan di sini hari ini. 

Skuad kuadran negara dibarisi Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Amirul Zazwan Amir, Norfaizzul Abd Razak dan Muhammad Shahril Aiman Halim menewaskan Jepun 15-8, 15-11 untuk muncul juara acara itu malam tadi.

Bagaimanapun hasrat Malaysia untuk meraih gelaran berganda tidak kesampaian apabila tewas 1-2 kepada musuh tradisi Thailand dalam perlawanan akhir acara double. 

Terdahulu, Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) di bawah Institut Sukan Negara (ISN) dengan kerjasama Pusat Kecemerlangan Kejurulatihan Sukan (ACSC) ASEAN, melancarkan Konvensyen Meja Bulat mengenai Kejurulatihan Sukan 2025 (RCSC25) di Hotel Zenith di sini.  

Hannah berkata konvensyen itu antara lain bagi memperkukuh kepimpinan Malaysia dalam memajukan pembangunan kejurulatihan serantau.

"Ada tujuh negara Asean terlibat dan kita jemput pakar untuk datang bantu dan bertukar pandangan dan fikiran supaya banyak lagi maklum balas dan input yang boleh diguna pakai untuk memperkasakan ekosistem kejurulatihan di Malaysia,” katanya.

Konvensyen bertemakan "Melatih ASEAN Ke Hadapan: Perpaduan, Struktur dan Kecemerlangan" itu bertujuan mengharmonikan rangka kerja kejurulatihan, menggalakkan pembelajaran bersama dan mengukuhkan peranan strategik jurulatih dalam sukan berprestasi tinggi di seluruh Asia Tenggara.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan