KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Syarikat tenaga boleh baharu (TBB) reNIKOLA Holdings Sdn Bhd telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan firma Jepun, Sumitomo Corporation bagi bekerjasama membangunkan projek-projek biotenaga berskala besar di Malaysia dan Indonesia.
reNIKOLA dalam kenyataannya berkata MoU yang dimeterai di Pavilion Malaysia ketika acara Expo 2025 Osaka, juga menandakan langkah penting ke arah melonjakkan usaha peralihan tenaga di rantau itu.
“Kerjasama itu akan menumpukan usaha menukar sisa pengeluaran minyak sawit kepada bahan api boleh baharu maju, menyasarkan pembangunan biometana dan rendah karbon seperti biometana cecair (LBM) dan biometanol.
“Inisiatif ini juga bertujuan memperkukuh daya tahan tenaga di kawasan berkaitan dengan menukar sisa minyak sawit menjadi bahan api mampan sambil menerajui pengurangan karbon dalam sektor minyak sawit,” katanya.
Menurut reNIKOLA, kerjasama itu juga bertujuan mempercepatkan transformasi Malaysia dan Indonesia yang juga pengeluar minyak sawit terbesar dunia, kepada ekonomi rendah karbon.
“Pembangunan lestari daripada kerjasama itu dijangka mewujudkan perniagaan generasi akan datang yang menyumbang kepada masyarakat neutral karbon dengan menghasilkan kitaran tenaga mampan selain meningkatkan lagi penyahkarbonan global,” katanya.
Pengarah Urusan Boumhidi Abdelali berkata reNIKOLA percaya kerjasama itu mampu menyokong usaha membangunkan tenaga lebih bersih di Malaysia dan Indonesia selain mempromosi amalan lestari dalam industri minyak sawit.
“Kami berterimakasih kepada Bioeconomy Corp di atas sokongan padu serta mengiktiraf teknologi dan kepakaran kami.
“Setakat ini, kami telah mendaftar syarikat di bawah Program Pemacu berasaskan bio di bawah Bioeconomy Corp yang bertujuan menggalakkan pelaburan sains, teknologi dan strategik ke dalam perniagaan biotenaga kami,” katanya.
Pada masa sama, syarikat itu juga dalam proses mendapatkan status sebuah syarikat BioNexus.
Status itu diberi khusus oleh Bioeconomy Corp yang menawarkan pelbagai manfaat kepada syarikat bioteknologi yang layak, termasuk insentif cukai, akses pembiyaan, keanjalan operasi serta sokongan prasarana.
Sementara itu, Ketua Penyelesaian Tenaga Sumitomo Corporation Indonesia Takechi Muramatsu berkata syarikat berharap dapat bekerjasama dengan reNIKOLA dengan berkongsi tumpuan sama terhadap pertumbuhan berkelanjutan dan peralihan tenaga.
"Menerusi gabungan kepakaran dan sumber daya, kami berhasrat menetapkan standard baharu bagi inovasi, tanggungjawab alam sekitar dan penyelesaian tenaga rendah karbon di rantau ini selain mendorong peralihan tenaga bersih di Asia," katanya.
MoU itu telah dimeterai oleh Abdelali dan Muramatsu yang disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.
-- BERNAMA