AM

KHALED NORDIN TIBA DI TURIN UNTUK LAWATAN KERJA DUA HARI

11/05/2025 10:35 PM

Daripada Mohamad Harith Mohamad Nizar

TURIN (Itali), 11 Mei (Bernama) -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tiba untuk lawatan kerja rasmi selama dua hari di Turin hari ini.

Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Malpensa, Milan bersama delegasi Kementerian Pertahanan disambut Duta Besar Malaysia ke Itali, San Marino dan Kosovo Datuk Zahid Rastam, Penasihat Pertahanan di Rom Kepten Mohd Kindil Md Akim serta Konsul dan Pesuruhjaya Perdagangan di Milan Ravidran Manogaran.

Turut sama dalam lawatan berkenaan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Goriman Khan dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan Mohd Yani Daud.

Mohamed Khaled dijadualkan melawat fasiliti syarikat aeroangkasa, pertahanan dan keselamatan Leonardo, selain meninjau perkembangan pembinaan Pesawat Rondaan Maritim (MPA) di Turin.

Perolehan MPA merupakan perancangan perolehan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP 55) dengan sejumlah enam MPA dirancang untuk diperoleh secara berfasa.

Perancangan perolehan pesawat MPA secara berfasa adalah melalui peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), RMK13 dan RMK14, dengan kelulusan perolehan pesawat MPA sebagai keperluan kritikal telah diperoleh di bawah Rolling Plan 4 yang melibatkan perolehan dua pesawat MPA fasa pertama bernilai RM899 juta.

Mohamed Khaled dijadualkan berlepas ke Berlin, Jerman pada Isnin bagi menghadiri forum The United Nations (UN) Peacekeeping Ministerial 2025.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan