AM

PMR 2025 SABAH CAPAI OBJEKTIF, REKOD LEBIH 150,000 PENGUNJUNG - EWON

11/05/2025 06:47 PM

TAWAU, 11 Mei (Bernama) -- Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Sabah yang berlangsung tiga bermula 9 Mei lepas di Dataran Perbandaran Tawau di sini, telah mencapai objektif untuk merakyatkan program dan perkhidmatan kerajaan di peringkat akar umbi.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata pelaksanaan PMR 2025 Sabah di Tawau itu juga merupakan usaha menjadikan bidang keusahawanan sebagai gerakan membasmi kemiskinan.

"Sambutan amat menggalakkan diterima daripada penduduk Sabah terutamanya di pantai timur negeri ini, khususnya di daerah Tawau, kepelbagaian pengisian dan perkhidmatan ditawarkan berjaya menarik 150,000 pengunjung setakat 11 pagi tadi.

"Dalam tempoh dua hari program itu juga, hampir RM1 juta jualan meliputi Jualan Murah MADANI, jualan usahawan Satu Desa Satu Industri (SDSI) serta jualan usahawan trak makanan direkodkan, di samping dicatatkan RM3.4 juta untuk biaya usahawan dan RM365,000 bagi inisiatif Padanan Perniagaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ewon berkata sebanyak 36 reruai kementerian, agensi kerajaan serta sektor swasta terlibat dan antara komponen reruai itu, sebanyak 242 membabitkan perkhidmatan titik sentuh rakyat, 158 usahawan Jualan MADANI, pameran aset keselamatan, karnival kerjaya, tujuh program satelit dan 63 sesi libat urus pentas PMR.

Beliau berkata kejayaan pelaksanaan PMR 2025 Sabah itu adalah hasil kerjasama strategik antara Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sebagai kementerian peneraju dan Kerajaan Negeri Sabah serta Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri.

Pada program berkenaan, Ewon berkata lima usahawan dari golongan B40 menerima Anugerah Kecemerlangan Usahawan Sabah daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Mereka ini merupakan usahawan 'zero to hero' yang mendapat bimbingan daripada agensi kerajaan sehingga berjaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat," katanya.

Beliau berkata KUSKOP selaku kementerian peneraju mengucapkan penghargaan kepada semua pihak merentasi kementerian atau agensi persekutuan dan negeri, syarikat swasta, usahawan dan khususnya warga Sabah yang hadir memeriahkan program ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan