TAWAU, 11 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dijadual merasmikan Majlis Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Sabah di Dataran Majlis Perbandaran Tawau di sini.
Perdana Menteri juga dijangka melakukan Penyerahan Projek Siap Tamu Desa Sabah, Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Usahawan Sabah dan Peluncuran Program Solar MADANI pada program yang berlangsung tiga hari bermula Jumaat lepas.
Anwar dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang turut dijadualkan hadir ke program itu, kemudian akan meluangkan masa meninjau sendiri perkhidmatan disediakan di reruai agensi serta jabatan kerajaan yang menyertai PMR.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick akan mengiringi tetamu kehormat selaku menteri dan kementerian bertanggungjawab menerajui PMR 2025 Sabah yang bertemakan "Menoktahkan Kemiskinan Melalui Keusahawanan".
Perdana Menteri dijadual meninggalkan majlis pada 4 petang ini.
Sementara itu, pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung pada hari terakhir PMR 2025 Sabah hari ini, antaranya Seminar Usahawan MADANI Dropship dan Ejen, serta pocket talk Anda Jimat Poket Selamat dan Keselamatan Dalam Talian.
Turut diadakan persembahan kebudayaan oleh Persatuan Etnik Tawau, pertandingan akhir karaoke, dan cabutan bertuah untuk pengunjung program.
-- BERNAMA