TAWAU, 10 Mei (Bernama) -- Lebih 10,000 pengunjung membanjiri Konsert Mega Tawau bersempena dengan penganjuran Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Sabah yang berlangsung di Dataran Majlis Perbandaran Tawau di sini malam ini.
Konsert yang berlangsung di pentas utama PMR Sabah itu menampilkan persembahan bertenaga daripada artis-artis popular tanah air antaranya Datuk Awie, Stacy, Akim dan Felix Agus.
Bermula 8.30 malam, pengunjung dihiburkan dengan persembahan pembukaan daripada Felix, penyanyi berasal dari Sabah yang menempa nama dalam industri muzik tanah air menerusi program realiti Akademi Fantasia dengan lagu Memori.
Kehangatan konsert yang meriah dengan sorakan ribuan penonton diteruskan dengan persembahan pasangan suami isteri Akim dan Stacy menerusi empat lagu iaitu Jahat, Rampas, Kopi Dangdut serta Ritma dan Rima.
Kemuncak Konsert Mega MADANI 2025 Sabah menyaksikan kemunculan legenda rock negara Datuk Awie yang menyampaikan empat buah lagu.
Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman menggegar pentas dengan persembahan bertenaga menerusi tiga lagu hitnya iaitu Sejati, Dipenjara Janji, Terima Kasih selain lagu Istana Menanti.
Hadir menyerikan Konsert Mega Tawau sempena PMR 2025 Sabah ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan Ketua Setiausaha Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.
Perasmian penutup PMR 2025 Sabah yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 petang esok.
Bertemakan “Menoktahkan Kemiskinan Melalui Keusahawanan”, PMR Sabah 2025 merupakan usaha kerajaan menerusi Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik KUSKOP selaku Kementerian Peneraju dan Kerajaan Negeri Sabah sebagai tuan rumah untuk membawa perkhidmatan secara langsung kepada rakyat.
-- BERNAMA