AM

KERETA DINAIKI NENEK 74 TAHUN TERBABAS DALAM TALI AIR

10/05/2025 06:40 PM

KOTA BHARU, 10 Mei (Bernama) -- Seorang wanita warga emas berusia 74 tahun berjaya diselamatkan orang ramai selepas kereta yang dinaikinya terbabas ke dalam tali air dekat Kampung Derdap Limbat di sini hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Tumboh Faizul Mohd Fauzi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.53 petang sebelum enam anggota bergegas ke lokasi kejadian dengan jarak tujuh kilometer.

“Setibanya pasukan di lokasi, didapati terdapat sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback terbalik dalam tali air. 

"Selepas terjunam, mangsa dipercayai telah keluar daripada kereta terbabit dan merangkak ke tebing dalam keadaan berlumpur sebelum diselamatkan orang awam," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata mangsa berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan