TAWAU, 10 Mei (Bernama) -- Sebanyak 90 peratus usahawan tempatan yang menyertai Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) kendalian Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di seluruh negara berjaya meningkatkan nilai jualan produk masing-masing sekurang-kurangnya sebanyak 20 peratus.
Menteri berkenaan Datuk Ewon Benedick berkata antara contoh kejayaan itu termasuklah pengusaha rendang maman, Koperasi Desa Gedok Gemenceh di Negeri Sembilan, yang berjaya mencatatkan peningkatan jualan dan pendapatan lebih 77 peratus.
Beliau berkata di Sabah pula, antara usahawan yang boleh dijadikan contoh ialah pengusaha industri sarang burung walit di bawah Koperasi Kumpulan Walit Kanibongan Berhad (Kokuwa), yang mencatatkan peningkatan purata jualan tahunan sebanyak 33.4 peratus pada 2023.
“Ini semua adalah kejayaan yang membanggakan dan kementerian sentiasa menggalakkan lebih ramai usahawan tempatan menyertai program SDSI agar turut mencatat kejayaan serupa.
“Atas dasar itu, KUSKOP akan terus menyokong pelaksanaan program SDSI dan telah mengemukakan permohonan peruntukan pembangunan bagi meneruskan pelaksanaannya di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 bagi tempoh 2026 hingga 2030,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ewon ditemui selepas merasmikan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) 2.0 Wilayah Borneo yang diadakan di tapak penganjuran Program Malaysia Rumahku (PMR) 2025 Sabah di sini, hari ini.
Turut hadir, Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy dan Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.
Program SDSI yang dilancarkan pada 1992 dan dahulunya dikenali sebagai Satu Kampung Satu Produk, merupakan inisiatif pembangunan ekonomi berasaskan komuniti setempat yang bertujuan memajukan industri atau produk unik beridentiti daerah masing-masing.
Sementara itu, mengulas mengenai sambutan PMR 2025 Sabah setakat ini, Ewon berkata pihaknya yakin sasaran nilai jualan sebanyak RM1.5 juta sepanjang program tiga hari yang bermula semalam itu akan dapat dicapai.
Beliau berkata keyakinan itu bersandarkan kepada sambutan amat memberangsangkan daripada pengunjung, dengan kehadiran seramai 26,320 orang direkodkan pada hari pertama penganjuran semalam.
“Dengan kehadiran pengunjung yang begitu menggalakkan, mudah-mudahan sasaran jualan kita secara keseluruhan iaitu RM1.5 juta merangkumi padanan perniagaan, jualan langsung, jualan usahawan serta jualan koperasi,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ewon turut memaklumkan KUSKOP telah menyalurkan sejumlah RM1.5 juta kepada Jabatan Pembangunan Usahawan dan Perindustrian Negeri Sabah bagi tujuan pemerkasaan usahawan di negeri ini.
-- BERNAMA