BUKIT MERTAJAM, 9 Mei (Bernama) -- Program Ziarah Kasih MADANI meneruskan jelajah ke Parlimen Permatang Pauh hari ini dengan menyantuni 10 keluarga bagi membantu meringankan beban mereka.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata selain menyampaikan sumbangan, program itu turut bertujuan mendengar denyut nadi rakyat.
“Arahan diberikan oleh Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah selain melaksanakan tugas di peringkat kementerian, kita diminta untuk turun ke kawasan dan menyelami permasalahan rakyat seterusnya mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan sebarang masalah yang berbangkit.
“Hari ini umpamanya kita melawat ke 10 rumah di sekitar kawasan Parlimen Permatang Pauh dan kita tengok keadaan rumah sebahagiannya dalam keadaan daif yang memerlukan pelbagai bentuk bantuan antaranya adalah membina semula rumah baharu,” katanya kepada pemberita selepas melawat sebuah rumah di Kampung Permatang Janggus di sini bersama Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim.
Muhammad Kamil berharap bantuan tersebut dapat disalurkan segera memandangkan rumah yang dilawati itu tidak lagi sesuai didiami berikutan keadaannya yang uzur.
Sementara itu, Normah Jamaludin, 38, yang mempunyai masalah lembam meluahkan rasa syukur apabila kesusahannya mendapat perhatian Perdana Menteri.
Adik Normah, Abdul Latif, 29, berkata kakaknya yang merupakan anak keempat daripada lima beradik tinggal sendirian di rumah berkenaan.
Rumah pusaka itu katanya tidak lagi selamat memandangkan ada struktur yang sudah runtuh terutama di bahagian dapur selepas dibadai ribut baru-baru ini.
“Kami (adik-beradik lain) ada ajak kakak tinggal bersama tetapi dia lebih selesa tinggal sendiri jadi kami amat berterima kasih kepada perdana menteri yang prihatin mahu membina semula rumah ini,” kata Abdul Latif.
Selain Ziarah Kasih MADANI, rombongan hari ini turut singgah di Masjid Sembilang, Seberang Jaya dan Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Taman Guar Perahu bagi menyampaikan pek makanan.
Turut diadakan sembang santai bersama 30 nelayan Permatang Pauh di Jeti Riadah dan Rekreasi Seberang Jaya petang tadi manakala pada sebelah malam pula, Majlis Semarak Keadilan MADANI Zon Utara dan Apresiasi Legasi Penerus Legasi Reformasi Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang akan berlangsung yang dijangka dihadiri Nurul Izzah Anwar.
-- BERNAMA