KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Richiamo Coffee Sdn Bhd bekerjasama dengan Good Virtues Co, jenama kesejahteraan tempatan di bawah Citychemo Manufacturing Sdn Bhd, untuk memperkenalkan barisan minuman baharu berasaskan "habbatus sauda" (jintan hitam atau nigella sativa).
Produk baharu itu disasarkan untuk mencatat jualan melebihi 30,000 cawan di seluruh negara sepanjang berlangsungnya kerjasama berkenaan.
Pengurus Jenama Kanan Citychemo Nur Wahidah Mohd Rafi berkata kerjasama itu juga dijangka memacu peningkatan jualan sebanyak 30 peratus untuk syarikat berkenaan.
“Kami ingin menjangkau seramai mungkin pengguna Muslim (terutamanya wanita) dalam pasaran dan pada masa yang sama, jika anda ingin memulakan hari anda, mulakannya dengan (secawan) kopi.
"Jadi, ini adalah tahap pengalaman kesejahteraan yang berbeza yang ingin kami sampaikan kepada pengguna kami," katanya kepada Bernama selepas majlis pelancaran produk itu di sini hari ini.
Nur Wahidah berkata kerjasama itu dijangka membolehkan syarikat menjangkau lebih ramai pelanggan baharu, bersama-sama dengan Richiamo Coffee.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Richiamo Coffee Nurul Nabilah Muhamad Zamry berkata rangkaian minuman baharu itu juga bertujuan mempromosikan manfaat kesihatan jintan hitam.
“Kami mahu mendapatkan lebih banyak jualan daripada audiens yang menyukai habbatus sauda cara tradisional.
“Terdapat ramai wanita yang minum kopi habbatus sauda di waktu pagi, jadi kami mahu menyasarkan audiens itu,” katanya.
Nurul Nabilah berkata dengan pembelian lebih daripada dua rangkaian minuman habbatus sauda, pelanggan akan menerima pek pengembaraan Good Virtues Co secara percuma.
Rangkaian minuman habbatus sauda baharu kini tersedia di semua cawangan Richiamo Coffee di seluruh negara bermula hari ini.
-- BERNAMA