AM

HERBAXPRESS HIMPUN LEBIH 7,000 PEMAIN INDUSTRI, JADI DIREKTORI HERBA TERBESAR MALAYSIA

09/05/2025 06:44 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Inovasi Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) iaitu platform digital HerbaXpress, berjaya menghimpunkan lebih 7,000 pemain industri herba, yang menjadikan ia sebagai direktori herba terbesar di Malaysia.

FRIM dalam kenyataan hari ini memaklumkan mereka terdiri daripada pelbagai segmen rantaian nilai termasuk pembekal bahan tanaman, penanam, pengusaha, pengeluar untuk syarikat lain, pemborong, peruncit dan penyedia perkhidmatan.

“HerbaXpress boleh diakses melalui https://herbaxpress.frim.gov.my dan berfungsi sebagai ekosistem digital sehenti, bukan sahaja untuk promosi produk tetapi juga sebagai rujukan data industri, pemetaan geografi pemain industri dan sistem pemadanan pasaran berasaskan spesies.

“Laporan Google Analytic menunjukkan HerbaXpress juga diakses dan dijadikan rujukan pengguna luar negara termasuk Amerika Syarikat, China, India dan Kanada,” menurut kenyataan itu.

Selain laman web, HerbaXpress, platform digital berimpak tinggi hasil penyelidikan bermula pada 2014 itu juga mempunyai aplikasi mudah alih dan boleh dimuat turun melalui Apple Store serta Google Play Store, yang merupakan aplikasi mudah alih pertama dibangunkan FRIM melalui kepakaran dalaman. 

FRIM berkata HerbaXpress turut menerima Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam MTE 2022, menandakan pengiktirafan nasional terhadap usaha FRIM membawa hasil penyelidikan ke pasaran melalui inovasi digital.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Ismail Parlan dalam kenyataan sama berkata HerbaXpress merupakan hasil utama projek penyelidikan FRIM bertajuk ‘Kajian Rantaian Nilai Industri Herba’ yang menerima dana Geran Khas NKEA EPP1 daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“Projek ini mencetuskan pembangunan sistem pangkalan data bersepadu bagi industri herba, yang seterusnya diperluas kepada sistem sokongan keputusan dan platform digital bagi menyokong pemetaan industri serta memperkukuh pemasaran produk herba tempatan.

“HerbaXpress membuktikan FRIM bukan sahaja berjaya dalam bidang penyelidikan, tetapi turut memainkan peranan penting dalam membina jambatan antara ilmu dan pasaran,” katanya.

Selain itu, FRIM berkata pihaknya telah menandatangani perjanjian perlesenan pengkomersialan dengan FRIM Incorporated Sdn Bhd dan Digital Dagang Sdn Bhd pada Oktober tahun lepas, yang menyaksikan integrasi pangkalan data HerbaXpress dengan platform e-dagang, sekali gus melahirkan Herba CartSini.

Herba CartSini merupakan pasaran digital untuk produk herba berkualiti disaring dan disahkan melalui kepakaran FRIM dan menjadi pelantar e-dagang pertama Malaysia memberi penekanan kepada keterjaminan kualiti, ketelusan serta pematuhan standard regulatori.

“HerbaXpress dan Herba CartSini bukan sekadar platform teknologi, tetapi merupakan lambang keupayaan negara membina sistem ekonomi berasaskan biodiversiti mampan dan berdaya tahan. 

“Ia menyokong dasar bioekonomi negara dan menjadi bukti kejayaan penyelidikan awam dalam mencipta impak sebenar kepada masyarakat dan ekonomi,” menurut kenyataan itu.

Herba CartSini boleh diakses di https://go.cartsini.my/view/herbacartsini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan