EKONOMI

MELAKA JALIN KERJASAMA DENGAN WEC TARIK PELABUR JERMAN KE GTP

08/05/2025 07:14 PM

MELAKA, 8 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri Melaka menjalin kerjasama dengan World Economic Council (WEC) dari Jerman untuk menarik lebih ramai pelabur dari negara itu melabur di Taman Teknologi Jerman (GTP) di Ayer Panas, Bemban di sini.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata usaha mempromosi GTP itu dilakukan menerusi pertukaran Memorandum Persefahaman antara Melaka Corporation (MCorp) dan WEC bagi memperkukuhkan kerjasama ekonomi dan teknologi kedua-dua pihak.

Beliau berkata sasaran menarik pelabur dari negera berkenaan melibatkan pelbagai sektor sama ada syarikat konglomerat atau perusahaan kecil dan sederhana. (PKS)

"Kita yakin akan dapat menerima pelabur untuk bertapak di GTP sedikit masa lagi kerana mereka merujuk pada cerita kejayaan syarikat Jerman yang telah melabur di Melaka dan ada antaranya mencecah 50 tahun.

"Dengan rujukan syarikat atau industri Jerman sedia ada di Melaka, memberi keyakinan terhadap keupayaan atau daya tahan kerajaan negeri mengurus pelabur dalam tempoh yang lama dan kelebihan itu menjadi salah satu faktor utama untuk menarik pelabur," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman antara MCORP dan WEC yang turut turut dihadiri Pengerusi WEC Peter Nussbaum dan Ketua Pegawai Eksekutif MCorp Datuk Mohd Yusof Abu Bakar.

Pada majlis itu, Ab Rauf menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara WEC diwakili Peter Nussbaum manakala MCorp diwakili Mohd Yusof.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata pembangunan GTP di tanah berkeluasan 196.7 hektar itu membantu menjadikan Melaka sebagai destinasi pelaburan utama, khususnya dalam bidang teknologi tinggi, automasi, tenaga hijau, industri 4.0 dan digitalisasi.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri telah berjaya mendapatkan kelulusan bagi semua syarat teknikal, termasuk Kajian Kesan Alam Sekitar (EIA), Kajian Kesan Trafik (TIA), Kajian Kesan Sosial (SIA) dan kelulusan pelan bangunan serta penukaran pengezonan.

"Setakat ini, kerajaan negeri telah memperoleh semua kelulusan teknikal dan pelabur boleh terus memulakan kerja pembangunan di tapak GTP.

"Melalui kerjasama dengan WEC, kerajaan negeri menyasarkan kira-kira 30 syarikat pelabur Jerman dari pelbagai sektor akan datang melabur di Melaka sekali gus membuka lebih 10,000 peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan," katanya.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan