JENAYAH & MAHKAMAH

SEMAKAN KEHAKIMAN PAMELA LING SEBELUM KEHILANGAN TIDAK MEMBATAL SIASATAN YANG SEDANG DIJALANKAN - SPRM

07/05/2025 04:40 PM

PUTRAJAYA, 7 Mei (Bernama) -- Semakan kehakiman yang difailkan Datin Seri Pamela Ling Yueh sebelum kehilangannya, tidak menafikan atau membatalkan siasatan yang sedang dijalankan berhubung kesalahan yang disyaki, menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan cabaran perundangan adalah hak mana-mana individu, tetapi ia tidak mengganggu perjalanan penguatkuasaan mengikut proses perundangan yang ditetapkan.

“Harus ditekankan, pada setiap peringkat, SPRM telah bertindak mengikut kerangka undang-undang, termasuk mendapatkan semua perintah mahkamah yang diperlukan, serta mematuhi peraturan yang ditetapkan. Dakwaan gangguan atau salah laku adalah tidak berasas,” menurut kenyataan itu, di sini hari ini.

Menurut kenyataan SPRM sejak laporan kehilangan Ling, SPRM telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang kini mengetuai siasatan tersebut.

“Sehubungan itu, SPRM berharap semua pihak mengelakkan spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Pada peringkat ini, keutamaan kita bersama adalah untuk memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa agar usaha mengesan dan membawa pulang Ling dapat dijalankan dengan lancar, selamat dan secepat mungkin,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan SPRM itu memaklumkan pihaknya mengambil maklum isu yang berbangkit berhubung kehilangan Ling dan menegaskan semua langkah sewajarnya telah diambil berkaitan kes berkenaan yang kini disiasat sebagai kes orang hilang oleh pihak polis.

Menurut kenyataan itu Ling dan suaminya Datuk Seri Hah Tiing Siu telah disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dimulakan pada Mei 2024, di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Berkongsi kronologi dan status siasatan, SPRM memaklumkan satu kertas siasatan telah dibuka pada 28 Mei 2024 dan Hah telah dipanggil untuk memberikan keterangan berkaitan kes kepada SPRM.

“Bagi melengkapkan siasatan, SPRM juga telah mengesan dan memanggil Ling untuk hadir ke ibu pejabat SPRM memberikan keterangan, namun beliau telah ingkar dan gagal memberikan Kerjasama,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, SPRM memaklumkan pada 2 Dis 2024, waran tangkap terhadap Ling telah diperolehi daripada Mahkamah Majistret Putrajaya atas kesalahan gagal mematuhi perintah menghadiri pemeriksaan bagi tujuan melengkapkan siasatan.

Kenyataan SPRM itu memaklumkan lanjutan daripada itu, pada 8 Jan 2025, satu tindakan operasi bersama pihak Corrupt Practices Investigation Bureau (CPIB) Singapura telah dilancarkan dan Ling telah ditahan secara sah dan dibawa pulang ke Malaysia.

Menurut SPRM, Ling telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada 9 Jan untuk permohonan reman dan permohonan telah dibenarkan selama tiga hari iaitu dari 9 hingga 11 Jan. Selepas tamat tempoh reman, beliau dilepaskan dengan ikat jamin SPRM.

“Pada 9 April 2025, pihak SPRM telah meminta Ling hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi meneruskan rakaman percakapan lanjutan maklumat-maklumat baharu yang diperolehi oleh SPRM.

“Berdasarkan maklumat ini, pihak SPRM juga telah mendapat izin dan perintah daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk menahan dokumen perjalanan Ling melalui serahan Notis Penyerahan Dokumen Perjalanan Seksyen di bawah Seksyen 44 (1) Akta SPRM 2009.

“Walau bagaimanapun, Ling gagal hadir pada hari tersebut dan peguamnya kemudian membuat laporan polis mengenai kehilangannya pada hari yang sama,” menurut kenyataan itu.

Pada 9 April, Ling, 42, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke pejabat SPRM dengan menaiki kereta perkhidmatan e-panggilan, untuk memberi keterangan berhubung satu siasatan yang sedang dijalankan dan polis menerima laporan berhubung kehilangannya pada 3.02 petang hari yang sama.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain semalam dilapor berkata suami kepada Ling merupakan antara individu yang disiasat polis susulan kehilangan wanita itu, serta mengenal pasti beberapa individu lain namun siasatan lanjut masih dijalankan.

Setakat ini, PDRM sudah mengambil keterangan daripada 16 individu termasuk suami mangsa dan pemeriksaan mendapati lelaki itu masih berada di dalam negara.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan