MELAKA, 7 Mei (Bernama) -- Sebanyak 170 pendatang asing tanpa izin ditahan dalam operasi penguatkuasaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka di dua tapak pembinaan di Batu Berendam dan Kota Laksamana di sini hari ini.
Pengarah Imigresen Melaka Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata kesemua yang ditahan berusia antara 25 dan 40 tahun membabitkan warga Bangladesh, Nepal, Myanmar, Pakistan, India, Indonesia dan China.
“Mereka yang ditahan adalah sebahagian daripada 215 pekerja warga asing yang diperiksa dalam operasi itu. Sembilan warga tempatan turut diperiksa kerana disyaki melindungi warga asing.
“Semasa serbuan, beberapa pekerja cuba melarikan diri dengan menyorok di atas bumbung dan di sebalik timbunan simen,” katanya kepada pemberita selepas operasi penguatkuasaan imigresen di Kota Laksamana di sini hari ini.
Beliau berkata antara kesalahan yang dikesan dalam operasi itu ialah tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, melanggar syarat pas lawatan kerja, tinggal melebihi tempoh dibenarkan serta menggunakan kad pengenalan tidak diiktiraf.
Anirwan Fauzee berkata operasi selama dua jam setengah yang tamat pada 1 tengah hari itu melibatkan 68 pegawai dan anggota imigresen.
Beliau berkata dua saman turut dikeluarkan kepada majikan di kedua-dua tapak pembinaan berkenaan manakala kesemua tahanan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo untuk siasatan lanjut dan tindakan susulan.
"Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963," katanya.
-- BERNAMA