KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi ini dengan lebih tinggi, didorong oleh aktiviti belian ketara saham wajaran tinggi terpilih, seiring dengan momentum positif di peringkat pasaran serantau.
Pada 12.30 tengah hari, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.42 peratus atau 6.49 mata kepada 1,543.29 daripada paras penutup pada 1,536.80, semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka susut 0.24 mata pada 1,536.56 yang juga paras terendah pada sesi pagi ini sebelum melantun ke paras tertinggi intra harian pada 1,543.29.
Sentimen secara amnya adalah adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 454 berbanding 355 manakala 424 kaunter tidak berubah, 1,102 tidak didagangkan dan sembilan digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 1.61 bilion saham bernilai RM1.01 bilion.
Naib Presiden Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street mencatat aliran lebih rendah menjelang mesyuarat dasar Rizab Persekutuan AS serta kenyataan media pasca mesyuarat itu oleh Pengerusi Jerome Powell, lewat hari ini.
"Harga minyak mentah pula semakin positif susulan jangkaan pengeluaran minyak mentah berkemungkinan memuncak lebih awal,” katanya.
Berikutan itu, harga minyak mentah Brent meningkat kepada lebih US$62 setong.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik satu sen kepada RM9.97, Tenaga Nasional menokok 14 sen kepada RM14.20, Public Bank tidak berubah kepada RM4.47 manakala CIMB turun dua sen kepada RM6.88 dan IHH Healthcare turun satu sen kepada RM6.99.
Bagi saham aktif, Sapura Energy meraih setengah sen kepada 4.5 sen, Pos Malaysia meningkat 2.5 sen kepada 29.5 sen, DNex menokok 1.5 sen kepada 90 sen manakala WTEC susut satu sen kepada 24.5 sen.
Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas naik 59.09 mata kepada 11,472.56, Indeks FBMT 100 meraih 57.12 mata kepada 11,244.77 manakala Indeks FBM Emas Shariah meraih 83.97 mata kepada 11,395.18.
Indeks FBM 70 melonjak 121.41 mata kepada 16,183.64 namun Indeks FBM ACE turun 2.26 mata kepada 4,636.51.
Bagi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 8.85 mata kepada 18,138.04, Indeks Tenaga meningkat 7.69 mata kepada 686.31 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.23 mata kepada 151.71 namun Indeks Perladangan turun 10.31 mata kepada 7,274.65.
-- BERNAMA