JENAYAH & MAHKAMAH

SETIAUSAHA WANITA DAP SELANGOR KEKAL BEBAS TUDUHAN BUAT BISING DI BALAI POLIS

07/05/2025 12:24 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Setiausaha Wanita DAP Selangor Nalina Nair Rama Krishnan kekal bebas daripada pertuduhan berkelakuan tidak senonoh dengan membuat bising di sebuah balai polis di sini, empat tahun lepas.

Ini selepas Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin bahawa pihak pendakwa raya selaku perayu, menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang melepaskan dan membebaskan Nalina Nair, 36, pada 10 Ogos 2023.

“Rayuan pendakwa raya dibatalkan,” kata Hakim Muhammad Jamil pada prosiding yang turut dihadiri peguam Farida Mohamad mewakili Nalina Nair.

Pada 10 Ogos 2023, Majistret Nadia Othman membebaskan Nalina Nair selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, di akhir kes pendakwaan.

Nalina Nair didakwa melakukan perbuatan itu di lobi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, pada 9 malam, 19 Ogos 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 94 akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM500 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Nalina Nair ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata beliau merakamkan penghargaan kepada pasukan peguam kerana telah mempertahankannya dengan penuh komitmen serta keberanian.

“Keputusan ini hasil usaha gigih mereka dan juga milik semua yang terus mempertahankan hak asasi dan kebebasan rakyat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan