IPOH, 7 Mei (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas 1,800 liter minyak diesel disyaki diseleweng dalam serbuan di Kampung Kepayang di sini semalam, kerana menyimpan barang kawalan tanpa permit.
Pengarahnya Datuk Kamalludin Ismail berkata serbuan pada kira-kira 12 tengah hari itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota KPDN di sebuah stor haram menerusi Ops Tiris.
“Modus operandi sindiket adalah dengan membeli diesel daripada pembekal tidak berlesen sebelum menyimpannya di stor haram, lalu dijual kepada pihak industri sekitar Ipoh pada harga lebih murah berbanding harga pasaran.
“Seorang lelaki tempatan berusia 63 tahun yang mengaku sebagai pemandu lori didapati gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan daripada pengawal bekalan ketika diminta pasukan pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Kamalludin, pihaknya merampas 1,800 liter minyak diesel, dua tangki simpanan pukal (IBC), hos serta sebuah lori, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM55,270.
Katanya kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual (minyak diesel) tanpa kebenaran bertulis daripada pengawal bekalan.
-- BERNAMA