Oleh Zarul Effendi Razali
KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri kenaikan awal untuk ditutup sedikit rendah hari ini, diseret turun akibat aktiviti pengambilan untung di kaunter perkhidmatan kewangan serta kaunter produk dan perkhidmatan perindustrian, kata seorang penganalisis pasaran.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.18 peratus, atau 2.74 mata kepada 1,536.80 berbanding 1,539.54 ketika ditutup semalam.
Kaunter CIMB dan Petronas Chemicals penyumbang utama kepada penurunan indeks, masing-masing merosot 18 sen kepada RM6.90 dan 15 sen kepada RM3.30 dengan gabungan penurunan sebanyak 5.36 mata.
Pasaran dibuka 1.10 mata lebih tinggi pada 1,540.64 dan bergerak antara 1,533.15 dan 1,544.98 di sepanjang sesi dagangan.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 540 berbanding 367, manakala 492 kaunter tidak berubah, 936 tidak diniagakan dan 17 digantung.
Jumlah dagangan naik kepada 2.79 bilion unit bernilai RM1.88 bilion berbanding 2.34 bilion unit bernilai RM2.08 bilion pada Isnin.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran serantau mencatat prestasi lebih positif, diterajui oleh China dan Hong Kong, susulan sentimen optimis terhadap potensi rundingan dagangan AS-China, dan penerbitan data aktiviti perkhidmatan China yang memberangsangkan.
“Dengan FBM KLCI yang telah pulih lebih 80 mata sejak ketegangan perdagangan AS mula tercetus, penyusutan hari ini boleh dianggap sebagai pembetulan yang sihat, membolehkan pasaran menyatukan keuntungan terkini sebelum meneruskan trend menaik.
“Kami mengekalkan unjuran optimistik berhati-hati terhadap pasaran tempatan, disokong oleh prospek ekonomi Malaysia yang bertambah baik hasil daripada permintaan pengguna yang kukuh, pemulihan sektor-sektor utama dan sokongan berterusan daripada kerajaan.
"Oleh itu, kami kekalkan sasaran mingguan FBM KLCI antara 1,525 hingga 1,555,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank susut 4.0 sen kepada RM9.96, manakala Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing kekal tidak berubah pada RM4.47 dan RM7. Tenaga Nasional melonjak 26 sen kepada RM14.06, dan CelcomDigi naik 1.0 sen kepada RM3.79.
Untuk saham aktif, Reach Ten menambah 2.5 sen kepada 56 sen, Permaju naik setengah sen kepada 3.5 sen, Mr DIY melonjak 7.0 sen kepada RM1.74, manakala Ekovest menyusut setengah sen kepada 32.5 sen.
Di papan indeks, FBM Emas merosot 27.71 mata kepada 11,413.47, FBMT 100 susut 27.61 mata kepada 11,187.65, manakala FBM Emas Shariah meningkat 7.72 mata kepada 11,311.21.
Indeks FBM 70 susut 70.26 mata kepada 16,062.23 dan Indeks FBM ACE naik 13.71 mata kepada 4,638.77.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 146.98 mata kepada 18,129.19, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.31 mata kepada 150.48, Indeks Tenaga merosot 4.09 mata kepada 678.62, manakala Indeks Perladangan naik 36.34 mata kepada 7,284.96.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 1.22 bilion unit bernilai RM1.61 bilion berbanding 1.51 bilion unit bernilai RM1.91 bilion semalam.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.22 bilion bernilai RM157.38 juta daripada 373.95 juta unit bernilai RM22.31 juta sebelum itu.
Pasaran ACE pula menyusut dengan jumlah dagangan sebanyak 346.85 juta unit bernilai RM103.09 juta, berbanding 454.30 juta unit bernilai RM139.10 juta pada Isnin.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 227.61 juta saham di Pasaran Utama, diikuti produk perindustrian dan perkhidmatan (162.51 juta), pembinaan (91.44 juta), teknologi (138.81 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (52.74 juta), hartanah (198.69 juta), perladangan (13.19 juta), REIT (14.65 juta) dana tertutup (17,200) tenaga (112.90 juta), penjagaan kesihatan (57.43 juta), telekomunikasi dan media (69.44 juta), pengangkutan dan logistik (36.82 juta), utiliti (46.71 juta), amanah perniagaan (7,000).
-- BERNAMA