KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM) dan ASEAN Public Relations Network (APRN) yang berpusat di Jakarta bersama-sama menganjurkan Anugerah Kecemerlangan PR ASEAN yang bakal diadakan di Kuala Lumpur pada 7 Julai.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, IPRM memaklumkan anugerah itu bersempena dengan Persidangan PR Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIP 7), bertemakan ‘Impactful AI, Social Media Communication and Online Education for ASEAN and the Global Community’.
Sejak diperkenalkan pada 2019, KLIP berperanan sebagai persidangan global penting yang menghimpunkan pemimpin perhubungan awam dan komunikasi, profesional serta akademik dari ASEAN dan selainnya, bagi menggalakkan perkongsian wawasan terkini industri.
Menurtut kenyataan itu, persidangan berkenaan bakal menampilkan pembentangan dan perbincangan yang bertujuan memupuk strategi kolaboratif bagi meningkatkan kesedaran keselamatan dalam talian dan pendidikan di seluruh rantau ASEAN.
“Penekanan kepada kepentingan kewarganegaraan digital yang bertanggungjawab dan amalan komunikasi beretika menjadikan acara ini amat signifikan selaras dengan peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025,” menurut kenyataan itu.
Peranan penting ini memperlihatkan kepentingan komitmen Malaysia dalam memupuk kerjasama serantau serta memimpin dalam bidang komunikasi dan keselamatan maklumat.
Dalam kenyataan yang sama, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengulangi komitmen Malaysia untuk membina masa depan, menyaksikan aspek komunikasi yang bertanggungjawab dan telus menjadi teras setiap perhubungan.
“Apabila Malaysia mengambil alih peranan Pengerusi ASEAN, kita diingatkan mengenai kepentingan kepimpinan yang berasaskan integriti, ketelusan dan komunikasi beretika. Kecemerlangan perhubungan awam bukan sekadar soal pengaruh; ia berkaitan dengan memupuk kepercayaan, penghormatan dan perhubungan bermakna yang merentas sempadan.
“Dalam detik penting ini, Malaysia berbangga menjadi teladan kepimpinan, memperjuangkan komunikasi beretika sebagai asas kerjasama serantau,” katanya.
Kenyataan itu juga memetik Presiden IPRM Jaffri Amin Osman sebagai berkata Anugerah Kecemerlangan ASEAN dan persidangan antarabangsa itu kedua-duanya menyediakan peluang unik untuk meraikan pencapaian dan menggerakkan dialog bermakna mengenai isu kritikal, khususnya berkaitan kecerdasan buatan (AI), pengurusan isu dan krisis, etika serta tadbir urus dalam bidang perhubungan awam dan komunikasi.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Akreditasi IPRM Professor Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid berkata peranan penting komunikasi dan penguasaan bahasa Inggeris untuk keberkesanan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, satu pandangan yang turut disokong oleh kajian komprehensif Unit Kajian Pilihan Raya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Beliau berkata kemahiran itu digabungkan dengan pengalaman luas Malaysia di peringkat antarabangsa, menjadi aset penting dalam mewakili ASEAN di persada global, selaras dengan objektif persidangan dan anugerah yang bakal diadakan untuk memupuk kerjasama dan meningkatkan standard perhubungan awam serta komunikasi di rantau ini.
Presiden APRN Prita Kemal Gani berkata anugerah berkenaan akan mengiktiraf pencapaian cemerlang dalam bidang perhubungan awam di seluruh rantau ASEAN, meraikan kempen inovatif dan inisiatif berimpak yang telah memacu kemajuan profesion berkenaan.
“Kami amat teruja untuk membawa anugerah itu ke Kuala Lumpur tahun ini, sebagai bukti kerjasama yang semakin berkembang dalam komuniti PR ASEAN. Acara ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan dan lebih banyak kecemerlangan dalam bidang berkenaan,” katanya.
KLIP bakal menampilkan penceramah terkemuka, perbincangan panel dan sesi interaktif yang menawarkan pandangan bernas serta menyediakan peluang kepada para peserta untuk mengadakan rangkaian kerjasama.
Untuk maklumat lanjut mengenai persidangan itu, layari laman web Kuala Lumpur International PR Conference 2025 di klipworld.com.my.
-- BERNAMA