PUTRAJAYA, 6 Mei (Bernama) -- Sebanyak 10,000 pengunjung dijangka memeriahkan Karnival Jom Masuk U Zon Tengah 2 yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 10 dan 11 Mei ini.
UKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran program pengajian oleh institusi pendidikan tinggi, konsultansi serta khidmat nasihat berkaitan laluan pendidikan yang sesuai mengikut kelayakan dan kecenderungan minat potensi individu akan diadakan sepanjang karnival itu.
Taklimat berhubung teknik pengisian sistem UPUOnline, peluang tajaan dan bantuan kewangan bagi melanjutkan pengajian serta sesi motivasi dan perkongsian oleh tokoh masyarakat tersohor turut dianjurkan.
“UKM menjemput para pelajar, ibu bapa, seisi keluarga dan orang awam untuk hadir beramai-ramai bagi meninjau dan mencari peluang melanjutkan pelajaran di 66 institusi pendidikan tinggi awam dan swasta serta agensi-agensi kerajaan dan badan berkanun,” menurut kenyataan itu.
UKM juga akan melancarkan Pusat Penilaian Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) UKM pada karnival berkenaan.
“APEL adalah satu proses sistematik yang melibatkan identifikasi, dokumentasi dan penilaian pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu. Ia secara tidak langsung sebagai satu bentuk pengiktirafan kepada pengalaman dan kepakaran individu yang berada di alam pekerjaan,” menurut kenyataan itu.
Menerusi APEL, orang ramai berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama dan pascasiswazah dengan menggunakan pengalaman kerjaya masing-masing.
-- BERNAMA