EKONOMI

KERAJAAN PERTIMBANG PAKEJ KHAS KEPADA PERNIAGAAN TERJEJAS SELEPAS RUNDINGAN TIMBAL BALAS

06/05/2025 12:04 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan mempertimbangkan pengenalan pakej insentif khas kepada perniagaan yang terjejas berikutan tarif Amerika Syarikat (AS) selepas meneliti impaknya serta kesan kepada kedudukan fiskal negara.

Menteri berkenaan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan akan memberi fokus kepada rundingan timbal balas dengan AS bermula hari ini yang membawa objektif utama supaya tiada tarif dikenakan ke atas negara terutamanya dalam sektor penting.

“Kita mungkin memberi tempoh sehingga Julai kerana pada masa ini kita memberikan fokus kepada perbincangan dengan AS. Apa-apa sahaja hasil (daripada mesyuarat ini) kemudian, kita akan mengetahui impaknya.

“Pada masa ini, kita tahu impaknya adalah tarif asas ke atas Malaysia sebanyak 10 peratus. Bagaimanapun, pada masa sama ada sektor yang tidak dikenakan tarif. Sebaik sahaja kita tahu (selepas rundingan tamat).. siapa yang terkesan, syarikat mana yang terkesan dan rantaian bekalan mana yang terkesan… pada masa itulah kita boleh membuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab bersempena sidang media pengumuman kad laporan prestasi MITI suku pertama 2025 di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata MITI perlu berbincang dengan Kementerian Kewangan bagi melihat aspek impak pakej khas itu ke atas kedudukan fiskal negara.

“MITI memang mahu membantu perniagaan dan perusahaan kecil dan sederhana tetapi ada isu yang perlu diperhalusi dari segi kedudukan fiskal negara,” katanya.

Semalam, Tengku Zafrul pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berhubung isu tarif AS berkata rundingan timbal balas itu akan diadakan secara maya, yang diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Mastura Ahmad Mustafa sebagai ketua perunding Malaysia bersama-sama Penolong Wakil Perdagangan AS untuk Asia Tenggara dan Pasifik (USTR) Sarah Ellerman.

Perbincangan awal adalah untuk memastikan apakah skop dan isu-isu teknikal yang perlu dibincangkan menerusi rundingan itu bagi mendapatkan persetujuan atau keputusan dalam situasi menang-menang.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan