KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan S&P Global ASEAN merosot untuk bulan kedua berturut-turut pada April 2025, mencatatkan bacaan di bawah paras neutral sebanyak 50.0 buat kali pertama sejak Disember 2023.
“Sebanyak 48.7, menurun daripada 50.8 pada Mac, pengeluar ASEAN mengalami kemerosotan yang sederhana, tetapi paling ketara, dalam keadaan operasi sejak Ogos 2021,” menurut S&P Global Market Intelligence.
Ahli Ekonomi S&P Global Market Intelligence Maryam Baluch berkata data PMI pada April menunjukkan gambaran membimbangkan bagi pengeluar barangan ASEAN apabila sektor tersebut kembali mencatatkan penyusutan buat kali pertama dalam tempoh 16 bulan.
“Pengeluaran dan pesanan baharu mencatatkan penyusutan semula, dengan aktiviti pembelian yang berkurangan dan mencatatkan kemerosotan dalam pemberhentian pekerjaan.
“Lebih membimbangkan ialah keyakinan yang berkurangan dilihat pada April, mencapai paras terendah dalam tempoh 57 bulan, menunjukkan penurunan yang ketara dari segi sentimen dalam kalangan pengeluar,” katanya.
Baluch berkata penurunan itu mewujudkan kebimbangan mengenai keupayaan sektor itu untuk pulih dalam masa terdekat dan mencadangkan syarikat perlu bersiap sedia untuk menghadapi cabaran akan datang.
Menurut kenyataan itu, dua segmen terbesar PMI -- pesanan baharu dan pengeluaran -- mencatatkan penurunan yang berterusan pada April, sekali gus menamatkan pertumbuhan selama 13 bulan dan enam bulan.
Dalam kedua-dua kes, kemerosotan terkini adalah yang paling ketara dalam tempoh 44 bulan, katanya.
Sejajar dengan penurunan keperluan pembuatan, S&P Global berkata syarikat mengurangkan aktiviti pembelian mereka buat kali pertama dalam tempoh enam bulan, kadar paling cepat sejak Ogos 2021.
“Aktiviti pembelian berkurangan bermakna simpanan input dikurangkan buat kali pertama dalam tempoh tiga bulan.
“Selain itu, aktiviti pembelian yang berkurangan ini mengurangkan tekanan ke atas rantaian bekalan, yang bertambah baik buat kali pertama dalam tempoh setahun pada April, walaupun hanya sedikit,” menurut penyedia penarafan kredit dan analisis itu.
Katanya tahap keyakinan syarikat adalah yang paling rendah dicatatkan sejak Julai 2020.
-- BERNAMA