KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) kekal positif terhadap kelompok pusat data (DC) yang dibangunkan di ASEAN walaupun terdapat sekatan eksport cip berteknologi tinggi oleh Amerika Syarikat (AS) serta kebimbangan berkaitan tarif dan makro.
Bank pelaburan itu berkata potensi urus niaga negara demi negara dengan AS mengenai bekalan cip berteknologi tinggi masih berkemungkinan berlaku yang boleh membantu menangani isu dari segi bekalan.
"Analisis terhadap komitmen perbelanjaan modal (capex) penyedia awan global dan ulasan pihak pengurusan mencadangkan sedikit risiko kecerdasan buatan (AI) atau pertumbuhan awan atau tahap capex mereka yang perlahan.
"Ini sekali gus mengurangkan kebimbangan mengenai kelembapan," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Maybank IB juga melihat peluang untuk para pelabur mengumpul saham dalam rantaian bekalan DC di ASEAN.
Selain itu, ia berkata kemungkinan usaha melonggarkan sekatan eksport AS ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) boleh menjadi contoh bagi perjanjian dua hala yang serupa serta usaha melonggarkan sekatan seterusnya bagi negara-negara ASEAN.
Pada masa ini, Singapura, Malaysia dan Thailand dikategorikan di bawah Tier 2 dalam rangka kerja penyebaran AI atau kawalan eksport cip oleh AS (serupa dengan UAE) yang tertakluk kepada keperluan pelesenan yang terhad.
"Walaupun kami melihat kuota yang dibenarkan di bawah rangka kerja penyebaran AI (berkuat kuasa 15 Mei) sebagai mencukupi untuk memenuhi pelaburan pusat data yang diumumkan di ASEAN, peralihan ke arah pengaturan khusus negara yang lebih fleksibel boleh membuka jalan bagi pelaburan masa depan oleh pemain serantau dan penyedia perkhidmatan awan berskala besar.
"Kami percaya infrastruktur pusat data ASEAN masih kurang berkembang dan boleh mencipta kesan yang lebih besar," katanya.
-- BERNAMA