KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Permukiman DAP Sabah selama tiga hari bermula Jumaat lepas, tertumpu kepada hala tuju dasar dengan pemimpin parti yang memegang portfolio menteri dan timbalan menteri membentangkan pencapaian kementerian masing-masing setakat ini.
Pengerusi DAP Kebangsaan Gobind Singh Deo berkata seiring dengan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, permukiman berkenaan berjaya menghimpunkan pemimpin peringkat kebangsaan, negeri dan akar umbi dalam usaha mencapai kesepakatan serta memastikan penjajaran strategik.
“Saya memuji pencapaian luar biasa mereka di peringkat persekutuan dan menekankan keperluan untuk meneruskan usaha kolektif ini di bawah Kerajaan MADANI,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata keputusan pilihan raya di Kanada, Australia dan Singapura pada hujung minggu lepas menyerlahkan perlunya kestabilan politik dan ekonomi dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik global masa ini.
“Kita mesti mendekati pilihan raya negeri akan datang ini dengan semangat dinamik dan bersatu padu, serta memberi lebih lagi tumpuan kepada dasar dan inisiatif berteraskan rakyat di samping membina kerjasama kukuh dengan rakan strategik yang tepat.
“Kita mesti mengangkat naratif pembinaan negara ke tahap lebih tinggi dan memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kita mampu menyediakan kepimpinan dan tadbir urus terbaik untuk negara ini,” katanya.
Gobind yang juga Menteri Digital turut mengingatkan pemimpin mengenai persekitaran digital yang pesat berubah serta peranan penting teknologi dan kecerdasan buatan (AI) dalam semua aspek kehidupan harian.
Beliau berkata Malaysia akan ketinggalan dan tidak mampu mengejar negara-negara lain jika tidak dipersiapkan untuk menghadapi implikasi besar teknologi berkenaan dalam beberapa tahun ini.
“Penting untuk kita memenangi pilihan raya negeri akan datang agar usaha baik kerajaan dapat diteruskan dan negara dapat dibawa lebih jauh ke hadapan, demi memastikan kita berada di landasan yang betul untuk menjadi sebuah negara berjaya, dihormati dan progresif,” katanya.
-- BERNAMA