KOTA BHARU, 5 Mei (Bernama) – Seorang pemancing yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam Sungai Pengkalan Nangka, Tumpat, Sabtu lepas, ditemukan lemas malam tadi.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nazdy Mohd Nor berkata mayat Muhammad Salam Mohd Daud, 27, ditemukan oleh penduduk kampung pada 11.31 malam di lokasi sama tempat dia dilaporkan tergelincir dan jatuh.
“Arwah Muhammad Salam ditemukan terapung oleh penduduk kampung… Mayat kemudiannya dihantar ke Hospital Tumpat untuk tindakan lanjut. Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan sepenuhnya,” katanya kepada Bernama hari ini.
Media sebelum ini melaporkan arwah bersama rakannya Mohammad Nor Amirul Mohd Zaid, 25, ke lokasi itu sekitar 9 malam pada Sabtu lepas untuk memancing, sebelum Muhammad Salam tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai.
Sementara itu bapa Muhammad Salam, Mohd Daud Che Husin, 56, meluahkan rasa syukur selepas anak ketiga daripada lima beradik itu berjaya ditemukan walaupun sudah tidak bernyawa.
“Saya tidak henti-henti berdoa dan melakukan solat hajat agar jasad anak saya ditemukan walaupun sudah tidak bernyawa, sekurang-kurangnya ada kuburnya. Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Talak hari ini,” katanya.
-- BERNAMA