IPOH, 5 Mei (Bernama) -- Mi tikus, namanya sahaja sudah cukup unik untuk mencetuskan tanda tanya.
Namun di sebalik nama ganjil itu, menu yang dimasak penuh kasih sayang oleh seorang mualaf Redzuan Ooi Abdullah, 52, menjadi tarikan pengunjung pelbagai kaum sejak beberapa tahun lalu.
Buktinya kedai makan bernama “Ipoh - Ipoh Ajee” yang beroperasi di perhentian bas Medan Kidd, di sini seawal 7 pagi hingga 3 petang itu dipenuhi pelanggan yang mahu merasai keenakan mi tikus dan pelbagai menu lain.
Teknik menggoreng Redzuan atau lebih mesra dipanggil Abang Wan itu juga cukup unik iaitu dengan melambung-lambung mi dalam kuali dengan api menyala, itu pun sudah menarik perhatian.
“Mi tikus ini berasal daripada nama asli masakan Cina iaitu ‘lo shi fun’ yang bermaksud mi tikus dalam dialek Kantonis, dari saya kecil ia memang dah dipanggil mi tikus kalau diterjemah ke bahasa Melayu, jadi saya kekalkan nama itu,” katanya ketika ditemui Bernama di gerainya, di sini.
Redzuan berkata mi tikus diperbuat daripada mi laksa pendek yang digoreng bersama beberapa bahan seperti bawang, telur, udang dan kicap.
Bapa kepada lima anak itu mengakui cukup bertuah apabila ditakdirkan memeluk agama Islam dan peluang itu digunakan untuk berkongsi menu itu dengan masyarakat Melayu.
“Seronok dapat tengok pelanggan Melayu nikmati makanan Cina, idea ini tercetus selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila isteri (Noraini Ropangi) yang ketika itu tidak bekerja mahu berniaga, jadi saya bantu dia. Ketika itu ada menu laksa dan mi kari, jadi saya masukkan juga menu masakan Cina,” katanya.
Anak jati Ipoh itu berkata dia pernah menimba pengalaman di sebuah restoran Cina di Klebang Besar, Melaka selepas tamat sekolah, membawa pulang teknik dan resipi yang kini diubah suai agar menepati piawaian halal tanpa mengorbankan rasa asli masakan Cina.
Malah dia pernah membantu keluarganya membuka gerai makan di Medan Kidd pada 1980-an menjual cendol, laksa dan lengkong.
Redzuan yang memeluk Islam sejak 2006 berkata selain mi tikus, menu istimewa lain yang terdapat di kedainya ialah mi hailam, yee mi hailam, mi tikus pagar, nasi goreng pagar dan sebagainya.
Bercakap mengenai teknik masakannya, Redzuan berkata ia tidak mudah dan memerlukan kekuatan kedua-dua belah tangan, malah setiap hari dia tidak berhenti memasak dari mula kedai dibuka hingga tutup dan hanya berehat sekejap.
“Saya lambung mi dalam kuali, ada api, orang suka tengok tetapi nak buat bukan senang, tangan pun pernah kejang. Kena belajar urut orang Cina dan dapatkan khidmat urut mereka.
“Kalau ikutkan, saya masak ini sebab minat. Setiap kali memasak, saya lakukan dengan hati yang ikhlas sebab hendak pelanggan puas hati, itu rahsia sebenar saya,” katanya dan memaklumkan kedainya pernah diberikan ulasan oleh pempengaruh media sosial pelbagai kaum sehingga tular.
“Saya memang tak sangka boleh jadi macam ini. Sekarang ini sampai tak sempat rehat, minum air pun berdiri,” katanya yang merancang membuka cawangan pada masa depan.
-- BERNAMA