KUCHING, 5 Mei (Bernama) -- Pusat Sains Negara (PSN) akan membawa bas pameran PSN ke 30 lokasi terpilih di Sabah dan Sarawak pada Program Kembara Sains Borneo (KSB) bersempena dengan Minggu Sains Negara (MSN) 2025.
Pengarah PSN Mohammad Fuad Rahman berkata bas pameran yang dinamakan PSN Trooperz On The Move itu dilengkapi dengan 20 ruang pameran interaktif yang direka khas untuk menarik minat pelajar terhadap sains.
“Inisiatif ini memberi ruang kepada pelajar yang tidak berpeluang melawat Pusat Sains Negara di ibu negara untuk merasai sendiri pengalaman melalui pameran bergerak yang kami bawa ke lokasi mereka,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Program Minggu Sains Negara 2025 di sini malam tadi.
Mohammad Fuad berkata fokus utama KSB adalah untuk mendekatkan komuniti pelajar di kawasan pedalaman dan luar bandar dengan Pusat Sains Negara.
“Pemilihan (untuk KSB) meliputi sekolah di bandar, luar bandar dan pedalaman, pemilihan pelajar juga melibatkan pelajar sekolah rendah hingga sekolah menengah.
“Untuk KSB, kami tidak bergerak bersendirian. Kami bekerjasama dengan rakan strategi iaitu Planetarium Negara, sokongan daripada Akademi Sains Malaysia, Yayasan Inovasi Malaysia dan Petrosains,” katanya.
Beliau berkata KSB bukan sahaja memberi tumpuan kepada pelajar, tetapi juga melibatkan guru-guru yang mengajar subjek Sains dan Matematik melalui pelaksanaan program latihan.
Menurut kenyataan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), dua program penjelajahan utama, iaitu Kembara Sains Borneo dan Rehlah Sains akan menjadi tumpuan di bawah inisiatif Minggu Sains Negara 2025.
Kedua-dua program ini merupakan usaha strategik MOSTI untuk memastikan manfaat pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dapat dinikmati secara menyeluruh merentas pelbagai kawasan geografi termasuk komuniti di kawasan pedalaman dan pinggir bandar.
Program MSN 2025 akan menjelajah ke enam zon utama di seluruh negara, bermula di Sarawak diikuti Terengganu, Sabah, Johor, Kedah dan berakhir di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Setiap lokasi akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti interaktif termasuk pameran pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), persembahan sains yang mengujakan, kuiz interaktif, bengkel pendidikan serta pameran kerjaya berasaskan teknologi masa hadapan,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA