KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengadakan perbincangan dengan Presiden Indonesia Prabowo Subianto untuk memperkukuh hubungan kerjasama meliputi pelbagai bidang.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata perbincangan itu, yang berlangsung menerusi panggilan telefon, menyentuh mengenai keperluan kedua-dua negara.
“Saya dan Presiden Prabowo percaya hubungan erat Malaysia dan Indonesia ini dapat memberi manfaat buat rakyat keseluruhannya.
“Kami juga menyentuh soal persiapan Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di Kuala Lumpur pada hujung bulan ini,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata Probowo turut mengundang beliau ke Jakarta bagi mengadakan lawatan rasmi dalam masa terdekat.
-- BERNAMA