POLITIK

SWAN PEMANGKIN PERKASA WANITA, PEMIMPIN BERLIMU DAN BERVISI - FADHLINA

04/05/2025 10:07 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Sekolah Wanita (SWAN) yang diasaskan Wanita PKR berupaya menjadi pemangkin untuk memperkasakan wanita dan menjadikan mereka sebagai pemimpin hebat yang berlimu serta bervisi.

Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek berkata SWAN bukan sahaja memastikan penyertaan wanita mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus dalam membuat keputusan tetapi juga menggunakan peluang itu untuk memberi sumbangan penting kepada negara.

“Tatkala kesenjangan gender semakin merapat dalam domain utama seperti pencapaian pendidikan dan penyertaan tenaga buruh, penglibatan wanita dalam politik serta sebagai pembuat keputusan masih rendah.

“Kini genap hampir setahun SWAN ditubuhkan untuk memberdaya golongan wanita dalam ruang aktivisme sosial dan pembangunan modal insan.

“Pelaksanaannya dilakukan penuh teliti dengan kerangka dan struktur yang disusun rapi. Pengetua memastikan pentadbiran dan operasi berjalan lancar manakala tenaga pengajarnya pula adalah dalam kalangan pakar bidang,” kata Menteri Pendidikan itu menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Fadhlina juga berkata penyertaan SWAN dibuka seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja yang berminat tanpa mengira umur, latar belakang atau jalur politik.

Ahli Parlimen Nibong Tebal itu berkata sepanjang program, peserta mengikuti pelbagai modul merangkumi topik seperti politik, demokrasi, ekonomi manusiawi, komunikasi, perundangan, personaliti dan keterampilan.

“Mungkin masih terlalu awal untuk menilai kejayaan SWAN. Apa yang penting, inisiatif ini perlu terus berjalan. Keberhasilan pendidikan memerlukan masa, komitmen dan usaha yang berterusan.

“SWAN adalah pemangkin untuk memperkasa wanita, menjadikan mereka sebagai pemimpin hebat yang berlimu dan bervisi,” katanya.

SWAN dilancarkan secara rasmi oleh isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 7 Mei 2024 di Putrajaya. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan