KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong, atas kejayaan memimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP) meraih kemenangan dalam pilihan raya umum negara itu.
“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada anda dan pasukan anda dalam meneruskan tanggungjawab kepimpinan bagi penggal baharu ini,” kata beliau dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata kemakmuran dan keselamatan Malaysia dan Singapura tidak dapat dipisahkan, kerana kedua-dua negara bukan sahaja dihubungkan oleh geografi, tetapi juga hubungan kekeluargaan yang erat.
“Ketika kita melihat kepada masa hadapan, kedua-dua negara sedang membina kerjasama mendalam di semua peringkat – satu asas penting dalam menghadapi cabaran besar terhadap sistem global dan perdagangan antarabangsa,” kata beliau.
Beliau berkata kedua-dua negara berpeluang untuk menjadikan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura sebagai contoh cemerlang mengenai apa yang boleh dicapai negara berjiran dengan iltizam dan matlamat bersama.
“Kami menantikan peluang untuk memperkukuh hubungan istimewa ini pada masa-masa akan datang,” kata Anwar.
Media malaporkan PAP berjaya mengekalkan majoriti dua pertiganya dalam Pilihan Raya Umum Singapura 2025 (GE2025), dengan memenangi 87 daripada 97 kerusi parlimen.
-- BERNAMA