AM

RUU BERKAITAN PENGURUSAN SUMBER AIR MENTAH DIBENTANG BULAN INI - CHOW

03/05/2025 03:43 PM

GEORGE TOWN, 3 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan membentangkan rang undang-undang (RUU) berkaitan pengurusan sumber air mentah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan berlangsung bulan ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata RUU berkenaan bakal menjadi asas kepada pewujudan enakmen pengurusan air baharu yang akan memperkukuh tadbir urus serta kawal selia terhadap sumber air mentah di negeri ini.

Beliau berkata menerusi enakmen itu, sebuah lembaga akan ditubuhkan dan diberi kuasa penuh, termasuk menjalankan penguatkuasaan, mengeluarkan lesen dan permit serta meluluskan permohonan berkaitan aktiviti pengabstrakan air mengikut syarat yang ditetapkan.

“Ketika ini, Bahagian Kawal Selia Air (BKSA) Pulau Pinang hanya menjalankan fungsi tertentu berkaitan pengurusan air mentah dan tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan atau pendakwaan.

“Justeru, kita merasakan sudah tiba masanya Pulau Pinang mempunyai satu enakmen khusus untuk pengurusan air mentah. Lembaga ini akan mengambil alih tanggungjawab BKSA serta diberi kuasa undang-undang untuk bertindak terhadap sebarang pelanggaran di bawah enakmen yang akan digubal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Air Sedunia di Empangan Air Itam, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk K. Pathmanathan dan Presiden Water Watch Penang Prof Emeritus Datuk Dr Chan Ngai Weng.

Mengulas lanjut, Chow berkata penubuhan lembaga itu dijangka dapat memastikan pengurusan sumber air mentah yang lebih mampan, efisien, dan berasaskan perundangan yang kukuh, demi kelestarian masa depan negeri Pulau Pinang.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari sebelum ini berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Pulau Pinang pada 25 Sept 2024 telah meluluskan secara dasar berkenaan cadangan menaik taraf BKSA kepada Lembaga Sumber Air Pulau Pinang.

Mengenai perkembangan lain, Chow berkata kerajaan negeri masih menunggu surat daripada kerajaan Perak untuk memulakan rundingan Projek Air Perak–Pulau Pinang.

Beliau berkata pihaknya juga mengambil maklum bahawa sebuah syarikat usaha sama antara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dengan GAMUDA telah ditubuhkan bagi melaksanakan projek terbabit di bahagian Perak.

“Ketika ini kita hanya menunggu untuk berunding (dengan Perak) berkenaan tarif, jumlah air yang akan disalurkan ke Pulau Pinang, terma-terma serta tempoh konsesi dan sebagainya. (Surat) itu yang kita tunggu bagi membolehkan kedua-dua negeri membuat rundingan,” katanya.

Pada 14 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan perancangan projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah yang sebahagiannya bagi menyokong projek Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) dan membekal air terawat ke Pulau Pinang, kini berada pada peringkat akhir.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan