AM

KARNIVAL ‘JOM MASUK U’ PLATFORM SALUR MAKLUMAT AKSES KE IPT

03/05/2025 02:53 PM

GEORGE TOWN, 3 Mei (Bernama) -- Karnival ‘Jom Masuk U’ berperanan sebagai platform strategik dalam menyampaikan maklumat menyeluruh mengenai akses ke institusi pendidikan tinggi, kata Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Prof Dr Azlinda Azman.

Beliau berkata karnival itu dirangka khas bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) keempat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu pendidikan berkualiti, antara lain menyeru semua pihak agar memastikan akses pendidikan tinggi yang inklusif, saksama dan berkualiti tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.

“Karnival ini memberi peluang kepada masyarakat, terutama pelajar lepasan Sijil Pelajar Malaysia (SPM), Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM), diploma, asasi dan matrikulasi mendapatkan panduan serta maklumat terperinci dan terkini daripada universiti awam, swasta serta agensi berkaitan yang menyertai pameran pendidikan pada hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Program Jom Masuk U 2025, Zon Utara di sini hari ini, yang turut dihadiri Naib Canselor USM Profesor Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed.

Mengulas lanjut, Azlinda berkata dunia hari ini bergerak dalam era mencabar dengan kemajuan teknologi, kepesatan globalisasi serta perubahan pasaran kerja yang menuntut tansformasi dan adaptasi sistem pendidikan tinggi negara. 

Sehubungan itu, beliau berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di bawah pimpinan Menterinya Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir telah merangka tujuh fokus utama sebagai hala tuju pendidikan tinggi negara bagi tahun ini.

"Antara tujuh fokus itu, termasuk Keterjaminan Akses kepada Pendidikan Tinggi iaitu memastikan peluang melanjutkan pelajaran dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat, termasuk golongan B40, Orang Asli, atlet dan Orang Kurang Upaya (OKU).

“KPT juga menyatakan komitmen tinggi untuk melaksanakan Pengukuhan Ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kini menjadi tumpuan utama untuk pembangunan modal insan berkemahiran,” katanya.

Sementara itu, pengunjung Nor Amizaa Dahlia Mohd Nasir, 18, berkata beliau datang bersama dua rakannya untuk mengetahui lebih lanjut peluang pendidikan bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya selepas mendapat keputusan SPM baru-baru ini.

Rakannya Hazalia Natasha Kamarul Izham, 18, pula berkata selain peluang pendidikan, mereka turut diberikan maklumat mengenai biasiswa dan pinjaman yang ditawarkan jika mahu menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya.

Program anjuran KPT melalui Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) itu berlangsung di Dewan Utama Pelajar (DUP) Universiti Sains Malaysia (USM) selama dua hari hingga esok dan dijangka menerima puluhan ribu pengunjung dari Pulau Pinang dan negeri-negeri utara yang lain.

Sebanyak 56 reruai pempamer terlibat sepanjang program itu, termasuk universiti awam terkemuka dan institusi swasta bagi memberikan khidmat nasihat secara langsung berkaitan laluan pengajian, syarat kemasukan, bidang pengajian, bantuan kewangan dan biasiswa.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan