JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS TUMPAS SINDIKET PENGEDARAN DADAH, RAMPAS SYABU BERNILAI RM320,000 DI MELAKA

03/05/2025 01:57 PM

MELAKA, 3 Mei (Bernama) -- Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dan merampas dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM320,000 hasil serbuan di sebuah rumah berdekatan Taman Krubong Perdana pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata dalam operasi kira-kira 11.30 malam itu, polis berjaya menangkap empat lelaki tempatan berumur lingkungan 19 hingga 50 tahun. 

"Pemeriksaan lanjut terhadap kesemua suspek terbabit, pihak kita telah merampas dadah jenis syabu seberat 10,000 gram.

"Sindiket ini dipercayai bergiat aktif sejak awal tahun ini dan kesemua dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran ke negara jiran dan boleh digunakan 33,333 penagih," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Christopher berkata polis turut menyita harta milik kesemua individu ditahan yang dianggarkan bernilai RM59,000, iaitu satu kereta dan tiga motosikal.

Katanya, hasil ujian saringan awal yang dijalankan terhadap kesemua individu itu bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah.

"Semakan rekod lampau mendapati seorang daripada mereka yang berumur 50 tahun mempunyai dua kes, iaitu di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 6(1) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

"Kesemua suspek yang ditahan telah direman selama tujuh hari bermula pada 2 hingga 8 Mei dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan