AM

IWK CARES CERIAKAN KANAK-KANAK DI WAD PADA MUSIM PERAYAAN

02/05/2025 08:34 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) --  Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd secara berterusan menunjukkan komitmen mereka, lebih daripada tanggungjawab terhadap alam sekitar, menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) utamanya IWK Cares, yang memfokuskan kepada inisiatif jangka panjang menyokong dan membantu komuniti yang memerlukan.

Dalam satu kenyataan hari ini, IWK memaklumkan bahawa sebagai sebahagian daripada usaha khidmat masyarakat, pasukan IWK Cares telah mengadakan lawatan kasih sayang ke wad pediatrik Hospital Tunku Azizah (HTA) pada 22 April, untuk berkongsikan semangat perayaan bersama pesakit kanak-kanak yang sedang menjalani rawatan.

Inisiatif yang dijalankan dengan kerjasama Hospital Tunku Azizah (HTA) dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM)  itu bermatlamatkan menceriakan mereka yang sedang menghadapi cabaran kesihatan.

“Sempena musim perayaan ini, kami percaya semua orang berhak merasai kegembiraan dan keceriaan Hari Raya,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa 100 kanak-kanak telah menerima beg hadiah istimewa yang mengandungi susu, biskut, kurma bertangkai, kit penjagaan kesihatan dan pensel warna - semuanya dipilih dengan teliti bagi mengutamakan kesejahteraan mereka sambil menceriakan aktiviti seharian.

Ketua Pegawai Operasi IWK MOhd Taufik Salleh dan Ketua Komunikasi Korporat Wan Esurianti Wan Ahmad turut hadir untuk menyampaikan beg hadiah dan duit raya secara peribadi kepada kanak-kanak tersebut, bagi berkongsikan kegembiraan perayaan.

IWK dan NCSM juga telah menganjurkan sesi minum petang bersama pesakit kanser yang telah pulih serta penjaga mereka di IWK Eco Park @ Pantai Dalam pada 25 April, bagi meraikan ketabahan mereka, memberi sokongan kepada yang masih dalam perjalanan pemulihan, serta menghargai peranan penting para penjaga.

Menurut kenyataan itu semasa program tersebut, 30 kanak-kanak daripada keluarga B40 yang terkesan dengan kanser, telah menerima hadiah dan duit raya.

Dalam kenyataan sama, Mohd Taufik berkata IWK amat bersyukur kerana dapat berkongsikan sedikit kegembiraan bersama kanak-kanak, pesakit yang pulih serta keluarga mereka.

“Harapan kami ialah tindakan kecil yang tulus ikhlas ini dapat mengingatkan mereka, bahawa mereka tidak berseorangan dalam menghadapi perjalanan hidup ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan