KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia akan membuat penyerahan Geran Pembangunan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) bermula 12 Mei ini bagi membolehkan kesatuan sekerja melaksanakan pelbagai program termasuk latihan untuk memperkasa kesatuan masing-masing.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata peruntukan keseluruhan bagi geran itu turut ditambah kepada RM10 juta pada tahun ini berbanding RM5.8 juta tahun lepas.
“Dengan penambahan peruntukan ini, kita dapat meluaskan lagi sumbangan atau menambah jumlah bantuan yang diterima kesatuan, melibatkan 551 kesatuan pada kali ini. Sebelum ini, kita beri antara RM20,000 hingga RM50,000 bergantung kepada saiz kesatuan tersebut.
“Geran ini sangat bermakna kepada kesatuan, dan usaha ini sebenarnya bertujuan membantu mereka melaksanakan program masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Pekerja dan Majlis Kasih Silaturahim Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) 2025 di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Presiden Cuepacs Datuk Dr Adnan Mat dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata beliau dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong akan menyampaikan geran tersebut secara bergilir bermula di Sabah.
“Pada 12 Mei saya akan ke Sabah dan pada 13 Mei saya akan melancarkan program penyerahan, diikuti Sarawak pada 16 Mei dan seterusnya sehingga selesai,” katanya.
Terdahulu, Abdul Rahman berkata Kementerian Sumber Manusia komited untuk memperkukuh dasar dan perlindungan hak pekerja termasuk melalui penggubalan serta pindaan terhadap lapan perundangan berkaitan buruh sejak tahun lepas.
“Kesemua akta ini telah berjaya diluluskan di Parlimen, dan sudah tentu memberi manfaat kepada negara serta memperkukuh perlindungan hak pekerja pada masa hadapan… ini termasuk Akta Pekerja Sabah dan Sarawak yang diluluskan baru-baru ini,” katanya.
-- BERNAMA