KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Permintaan penumpang udara global meningkat sebanyak 3.3 peratus pada Mac 2025 daripada 2.7 peratus yang dilaporkan pada Februari, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Ketua Pengarahnya, Willie Walsh dalam satu kenyataan hari ini berkata pengembangan kapasiti dalam tempoh berkenaan bagaimanapun sebanyak 5.3 peratus iaitu melebihi peningkatan permintaan.
Akibatnya, katanya, faktor beban global menurun daripada paras tertinggi rekod kepada 80.7 peratus, mengikut seluruh sistem.
IATA melaporkan jumlah permintaan diukur dalam penumpang bagi setiap kilometer (RPK), meningkat sebanyak 3.3 peratus berbanding tahun sebelumnya manakala kapasiti diukur dalam tempat duduk tersedia bagi setiap kilometer (ASK) dan ia berkembang sebanyak 5.3 peratus.
"Ini menghasilkan faktor beban global sebanyak 80.7 peratus, susut 1.6 mata peratus," kata persatuan itu.
Jumlah trafik antarabangsa melonjak sebanyak 4.9 peratus berbanding Mac 2024 dengan kapasiti meningkat sebanyak 7.0 peratus.
Faktor beban antarabangsa pula merosot sebanyak 1.7 mata peratus kepada 79.9 peratus.
Syarikat penerbangan Asia-Pasifik mencatatkan pertumbuhan tertinggi dalam kalangan pasaran antarabangsa dengan peningkatan permintaan sebanyak 9.9 peratus.
Syarikat penerbangan Eropah pula mencatatkan kenaikan sebanyak 4.9 peratus manakala syarikat penerbangan Amerika Latin mencatatkan pertumbuhan sebanyak 7.7 peratus.
Sebaliknya, syarikat penerbangan Timur Tengah mengalami penurunan trafik antarabangsa sebanyak 1.0 peratus.
Syarikat penerbangan Amerika Utara juga melaporkan penguncupan kecil iaitu sebanyak 0.1 peratus.
"Kemerosotan di Timur Tengah mungkin berkaitan dengan waktu Ramadan yang mempengaruhi pola perjalanan," kata IATA.
-- BERNAMA