JENAYAH & MAHKAMAH

BEKAS PEKERJA GUDANG DITAHAN CURI CIP BERNILAI RM120,000

30/04/2025 09:41 PM

GEORGE TOWN, 30 April (Bernama) -- Polis menahan bekas pekerja sebuah gudang kerana disyaki terlibat dalam kes kecurian komponen cip jenis PMU0123 bernilai RM120,000 milik sebuah syarikat elektronik multinasional yang beroperasi di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata lelaki tempatan berusia 26 tahun itu ditahan di pekarangan Balai Polis Teluk Kumbar dekat sini hari ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Siasatan awal mendapati pihak syarikat telah membuat semakan audit dalaman dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di situ sebelum mengenal pasti suspek yang merupakan bekas pekerja sebagai individu yang mencurigakan.

"Berdasarkan siasatan suspek dipercayai telah mengambil sebanyak lapan unit cip dari stor syarikat dan menjualnya kepada individu tidak dikenali di kawasan hentian bas hadapan sebuah kilang di situ," katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Beliau berkata susulan penahanan lelaki itu, polis merampas sebuah telefon bimbit jenis iPhone 12 Pro Max miliknya.

Sazalee berkata siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan pembeli cip itu dan lelaki berkenaan kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan