KUALA LUMPUR, 30 April 30 (Bernama) -- Pengeluar dan pembekal utama papan litar bercetak (PCB), Sustio Sdn Bhd, anak syarikat Simmtech Group menyiapkan pembesaran fasa 2 bernilai RM326 juta dengan pembukaan kilang operasi keduanya di Batu Kawan, Pulau Pinang.
Sustio melabur kira-kira RM750 juta untuk membangunkan kemudahan pembuatan canggih pertama seumpamanya di Asia Tenggara itu yang disasar menjana 1,400 pekerjaan bernilai tinggi serta mengukuhkan peranan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor global.
Menerusi satu kenyataan bersama Sustio berkata syarikat itu bersedia untuk mencapai pertumbuhan selanjutnya dengan rancangan yang disesuaikan bagi aplikasi dipacu kecerdasan buatan (AI).
"Simmtech Group mereka bentuk Sustio Building 3 di tapaknya sekarang dan memperoleh tambahan 10 ekar (4.05 hektar) untuk Sustio Building 4, menandakan komitmen jangka panjang terhadap inovasi dan pengembangan di rantau ini," kata syarikat itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Simmtech Jeffery Chun berkata pelaburan kumpulan itu di Malaysia mencerminkan keyakinannya terhadap bakat, infrastruktur dan kedudukan strategik negara dalam industri semikonduktor
“Dengan keupayaan canggih Sustio, kami bukan sahaja menyokong permintaan teknologi global tetapi juga memperkasakan pembangunan ekonomi tempatan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (pembangunan pelaburan) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Zalina Zainol berkata dengan menyelaraskan strateginya dengan teknologi generasi akan datang, terutamanya inovasi dipacu AI, Sustio bukan sekadar mengembangkan perniagaannya malah membantu menjana tenaga dan meningkatkan keseluruhan ekosistem semikonduktor.
“Di MIDA, kami percaya kejayaan dicapai apabila kita mewujudkan peluang sebenar untuk syarikat tempatan, terutamanya melalui program pembangunan vendor dalam bidang utama seperti automasi, bahan mentah dan kawalan kualiti.
“Sama ada dari ibu pejabat kami atau di sini di Pulau Pinang, MIDA bersedia untuk menyokong Sustio — bukan hanya hari ini, tetapi sepanjang proses, sambil kita membina masa depan yang lebih cerah dan lebih inovatif bersama-sama,” katanya.
Majlis perasmian hari ini disempurnakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
-- BERNAMA